Memasak lebih mudah bersama Jasmine, Sudee

5 hours ago 4

JENAMA beras terkemuka negara, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (Jasmine) melebarkan sayap perniagaannya ke bidang pengedaran makanan dengan memilih jenama Sudee sebagai rakan strategik pertama.

Setelah sekian lama dikenali hanya sebagai pengeluar beras, kini Jasmine mengorak langkah ke arah kepelbagaian bisnes.

Ketua Pegawai Operasi Jasmine, Alan Kwong berkata, langkah strategik itu menandakan permulaan baharu bagi Jasmine yang selama lebih enam dekad sinonim dengan beras.

Jelasnya, Jasmine berhasrat menawarkan pilihan lebih menyeluruh kepada pengguna daripada beras sebagai makanan ruji hinggalah kepada produk mudah masak seperti pes-pes masakan Sudee yang menjimatkan masa.

“Selama ini, Jasmine hanya dikenali dengan jenama beras, tetapi makanan adalah lebih daripada sekadar nasi.

“la mengenai rasa, kenangan dan keselesaan hidup moden.

“Dengan kerjasama Sudee, kami dapat memberikan lebih nilai kepada pengguna iaitu kualiti yang dipercayai, ditambah dengan kepelbagaian dan kemudahan,” katanya ketika majlis pelancaran Mudahnya Memasak dengan Sudee dan Jasmine di Petaling Jaya baru-baru ini.

Pelakon veteran Jalaluddin turut memeriahkan program pelancaran Mudahnya Memasak dengan Sudee dan Jasmine di Petaling Jaya baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas Sudee Holdings Berhad, Jamaludin Adnan; Ketua Pegawai Eksekutif Sudee Holdings Berhad, Khairie Kemat dan Duta Jasmine yang juga pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan.

Majlis turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan secara langsung dengan menampilkan cef yang menunjukkan cara mudah menyediakan hidangan menggunakan produk berasaskan kiub dan pes penuh aroma.

Pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman memasak dan mereka boleh mencuba resipi ringkas serta beraksi seperti seorang cef.

Lebih menarik, setiap sajian yang dihasilkan boleh terus dinikmati menerusi sesi rasa produk.

Sementara itu, Khairie berkata, kerjasama itu sudah bermula pada April dan kedua-dua pasukan telah bekerja keras untuk merealisasikan kolaborasi tersebut.

“Kerjasama ini tepat pada masanya dan selaras secara strategik dengan produk teras Jasmine kerana tawaran pelengkap ini bersesuaian dengan sempurna.

“Ia menandakan permulaan kerjasama jangka panjang yang memberi impak, bukan saja dalam pengedaran produk, tetapi juga pembangunan bersama menerusi inovasi produk,” katanya.

Sudee merupakan jenama tempatan terkenal dengan rangkaian pes masakan kering seperti nasi goreng, bihun goreng, kiub rempah untuk sup, tumisan dan masakan tradisional lain.

Read Entire Article
Pertanian | | | |