
- Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
- 31 Ogos 2025, 11:30 am
MELAKA – Jalan Merdeka dekat sini bergema apabila lebih 20,000 pengunjung yang berhimpun bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 menyambut kehadiran dua buah pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM.
Pesawat tersebut melintas masuk ke lokasi perarakan tepat pada pukul 10 pagi dan membuat persembahan selama tiga minit dengan aksi pusingan merentas pentas utama tetamu kehormat.
Persembahan udara kemudian diteruskan dengan kemunculan sebuah Airbus A400M yang merupakan sebuah pesawat turboprop pengangkut tentera dan penangki minyak dan pesawat C-130H yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Terdahulu, keterujaan rakyat Melaka untuk menyaksikan persembahan udara pada sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini dapat dirasakan sejak dua hari lalu selepas lima buah Sukhoi Su-30MKM dilaporkan membuat latihan penerbangan di negeri ini.
Pesawat tempur itu dilihat terbang dalam keadaan formasi, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang turut berhenti bagi merakamkan detik mengujakan.