Makaf ‘import’ jaguh Eropah & Amerika Syarikat jalani latihan

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) melaksanakan pendekatan strategik baharu dalam mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila membawa masuk atlet bertaraf dunia dari Eropah dan Amerika Syarikat untuk menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Timbalan Presiden 1, Datuk Vincent Chen berkata, inisiatif membawa masuk jaguh luar untuk berkampung di MSN dilihat lebih efektif dan menjimatkan kos berbanding menghantar atlet negara menjalani latihan pendedahan di luar negara dalam tempoh yang lama.

“Kita merancang untuk mengadakan kem latihan prestasi tinggi di MSN sendiri. Kita akan menjemput atlet-atlet bertaraf dunia dan berada di ranking teratas dari Eropah, Amerika atau mana-mana sahaja untuk datang dan menjalani latihan bersama atlet kita.

“MSN sudah menyatakan persetujuan dan sokongan penuh mereka terhadap program ini. Ini adalah situasi menang-menang, terutamanya atlet dari Eropah kerana mereka tidak bersaing dalam Sukan Asia, jadi mereka berminat untuk datang,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama MSN hari ini.

Menurut Vincent, pemilihan atlet luar yang akan dijemput itu dianggarkan sekitar empat hingga enam orang atlet terbaik lelaki dan wanita malah akan dibuat secara teliti berdasarkan penilaian teknikal agar sepadan dengan kategori berat, kepantasan dan kekuatan atlet negara.

“Segala perbelanjaan akan kita tanggung, namun ia jauh lebih menjimatkan. Atlet kita boleh menggunakan kemudahan sains sukan di ISN dan MSN, serta boleh melakukan sparring dalam tempoh yang lebih lama untuk meningkatkan prestasi,” jelasnya.

Kataya, program berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dan dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Andris V Anderson, yang kembali sebagai konsultan bagi membantu perancangan jangka panjang skuad negara.

Dalam masa sama, kontrak R. Shamendran sebagai ketua jurulatih dilanjutkan sehingga 2027 bagi memastikan kesinambungan program pembangunan atlet.

Mengulas sasaran di Sukan Asia, Vincent memaklumkan penetapan pingat akan diumumkan MSN, namun mengakui cabaran cukup sengit dengan penyertaan 38 daripada 45 negara, menjadikan karate antara sukan paling kompetitif.

Sebagai pemanas badan, ujian sebenar menanti skuad negara di Bali menerusi Kejohanan Senior Asia Julai ini selain saingan Series A di Sepanyol sebelum skuad diterbangkan ke Jepun. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |