Lima atlet kayak Sukma terima diploma PIS

2 hours ago 1

JOHOR BAHRU – Lima atlet kayak dan perahu naga Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang mewakili negeri Johor dalam Sukan Malaysia (Sukma) antara yang menerima skrol dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-30 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil di sini hari ini.

Mereka ialah Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal, 22, Mohamad Najmie Mohd. Najib, 23, Nur Atasha Nabila Saring, 25, Nur Syahirah Fuad, 22, dan Nur Amirah Aqilah Abd. Kadir, 22.

Muhammad Bahij Rabbani, Nur Syahirah dan Nur Amirah yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal masing-masing memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.31, 3.06 dan 3.12.

Manakala, Mohamad Najmie menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) dan Nur Atasha Nabila menggenggam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Bahan), masing-masing memperoleh HPNM 3.00 dan 3.05.

Kesemua mereka berjaya membantu pasukan Johor merangkul 23 pingat emas sukan kayak dan perahu naga pada Sukma Selangor 2022 serta satu perak dan dua gangsa pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Muhammad Bahij bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian selama empat tahun meskipun perlu membahagikan masa dengan latihan kayak dan sukan perahu naga.

Selain Sukma, antara pencapaian terbaik
Muhammad Bahij adalah meraih pingat emas kategori Senior Man K2 28 kilometer pada Singapore Canoe Marathon 2023, pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Dunia di Filipina 2024 serta pingat perak dan gangsa Sukan SEA di Kemboja 2023.

“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana mendapat banyak sokongan bukan sahaja daripada ahli keluarga malah jurulatih, pensyarah dan rakan-rakan sekuliah.

“Pada masa ini saya sedang membuat persiapan bagi mewakili negara dalam acara perahu naga sempena Sukan SEA di Thailand pada Disember depan,” katanya ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen tersebut.

Sementara itu, Nur Atasha Nabila pula terpaksa menangguhkan pengajian sebanyak tiga kali kerana terlibat dengan beberapa edisi kejohanan Sukma.

‘’Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur meskipun mengambil masa lapan tahun untuk menamatkan pengajian,” katanya.

Antara pencapaian terbaik Nur Atasha Nabila adalah meraih pingat gangsa dalam acaa perahu naga 250 meter Sukan SEA Kemboja 2023 serta dua pingat perak dan dua pingat gangsa Singapore Canoe Marathon 2023 dan 2024.

Pada majlis konvokesyen hari ini, seramai 344 graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Bahan) dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) menerima skrol masing-masing.

Majlis perasmian dan penyampaian skrol disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Aito Fireworks Holdings Sdn. Bhd., Aswan Khamis yang juga Alumni PIS dan turut dihadiri Pengarah PIS, Ulaimi Yahya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |