PALM BEACH, FLORIDA – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) menembak mati seorang lelaki yang cuba memasuki rumah peranginan milik Presiden Donald Trump di Mar-a-Lago, negeri Florida, sambil membawa senapang patah dan kanister gas, lapor agensi berita United Press International.
Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia awal 20-an, cuba memasuki hartanah tersebut dari pintu pagar utaranya dan memasuki perimeter selamat sebelum dia ditembak dan dibunuh, kata Perkhidmatan Rahsia dalam satu catatan di platform X.
Walaupun Trump sering menghabiskan hujung minggu di pusat peranginannya di West Palm Beach itu, beliau berada di Washington, D.C., hujung minggu lalu.
Menurut pegawai, tiada orang lain yang dilindungi berada di hartanah tersebut ketika itu.
“Ejen Perkhidmatan Rahsia AS dan seorang timbalan Pejabat Syerif Daerah Palm Beach bersemuka dengan individu itu dan tembakan dilepaskan oleh penguatkuasa undang-undang semasa pertempuran,” kata Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia, Anthony Guglielmi.
Guglielmi berkata, lelaki itu dikesan sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) pagi semalam, yang sedang menuju ke perimeter Mar-a-Lago.
Ejen berhadapan dengan suspek yang membawa senapang patah dan kanister gas, serta mengarahkannya untuk meletakkan senjata.
“Dia meletakkan kanister gas tetapi kemudian mengangkat senapang patah ke posisi menembak, di mana ejen dan timbalan melepaskan tembakan ke arahnya,” kata Syerif Daerah Palm Beach, Ric Bradshaw pada sidang akhbar.
Perkhidmatan Rahsia berkata, tiada anggota penguatkuasa undang-undang yang cedera dalam kejadian itu dan semasa siasatan, kedua-dua ejen persekutuan tersebut diletakkan dalam cuti pentadbiran rutin.
Sementara itu, akhbar The Sunday Guardian melaporkan, suspek dikenal pasti sebagai Austin Tucker Martin dari negeri Carolina Utara. – AGENSI

20 hours ago
8










![[VIDEO] ‘Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-5.09.39-PM.jpeg)






































