DUNIA perfileman antarabangsa berduka dengan pemergian legenda Hollywood, Robert Redford, yang meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Utah, Amerika Syarikat, awal pagi semalam.
Berita duka itu disahkan Ketua Eksekutif firma publisiti Rogers & Cowan PMK, Cindi Berger, yang memaklumkan Redford pergi dalam keadaan tenang, ditemani insan tersayang di sisi.
“Beliau menghembuskan nafas terakhir di tempat yang paling dicintai, dikelilingi keluarga,” ujar Cindi dalam satu kenyataan.
Mendiang berusia 89 tahun itu bukan sekadar aktor tampan layar perak, malah seorang sutradara dan penggiat seni penuh visi.
Kariernya melakar sejarah menerusi filem-filem ikonik seperti Butch Cassidy and the Sundance Kid (1969), The Sting (1973), All the President’s Men (1976) dan Out of Africa (1985).
Kejayaan terbesarnya sebagai pengarah hadir menerusi Ordinary People (1980) yang meraih empat Oscar, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Lebih memberikan kesan, naskhah tersebut tidak hanya karya layar perak malah cerminan luka peribadi kepada aktor terbabit yang kehilangan ibu ketika pada usia remaja.
Sebagai pemain ndustri perfileman, Redford dikenang sebagai pengasas Sundance Institute (1981) dan kemudiannya Festival Filem Sundance di Utah.
Daripadanya lahirlah pengarah-pengarah besar era moden seperti Quentin Tarantino, Darren Aronofsky dan Ava DuVernay.
Redford juga sering lantang menegur komersialisasi berlebihan yang meracuni semangat asal festival tersebut.
Perjalanan hidup seniman itu juga turut diselubungi episod duka apabila kehilangan seorang anak kecil akibat sindrom kematian mengejut bayi dan pada 2020 anak lelakinya, Jamie meninggal dunia akibat penyakit barah.
Redford meninggalkan seorang balu, Sibylle Szaggars, dua anak perempuan, tujuh cucu serta legasi seni dan aktivisme yang akan terus diingati.