LEGENDA sukan negara, M. Ramachandran optimis kebangkitan Kristian Tung mampu mengubah landskap olahraga Malaysia selepas pelari muda itu berjaya memadam rekod kebangsaan berusia 40 tahun dalam acara 3,000 meter (m).
Menurutnya, catatan lapan minit 15.70 saat (s) dilakukan Kristian pada saingan BMC Record Breakers di Tooting British Milers Club, London pada Isnin lalu jelas membuktikan keupayaan atlet berusia 21 tahun itu untuk pergi lebih jauh.
Ia termasuklah meleburkan dua rekod kebangsaannya yang masih bertahan lebih tiga dekad, 5,000m menerusi masa 14:06.82s dicipta di Troisdorf, Jerman 5 Ogos 1994 dan 10,000m dengan catatan 29:30.19s dilakukan di Sukan Komanwel Victoria, Kanada pada 27 Ogos 1994.
“Saya memang bangga dengan pencapaian Kristian kerana selepas 40 tahun barulah negara melahirkan seorang atlet jarak jauh yang benar-benar bertaraf Asia.
“Masa 3,000m yang dicatat itu cukup bagus dan berdasarkan prestasi tersebut, saya yakin dia boleh berlari 5,000m di bawah 14 minit,” katanya.
Ramachandran yang pernah mencatat 8:21.00s dalam acara 3,000m berkata, Kristian sudah meletakkan dirinya pada landasan yang tepat untuk muncul sebagai pelari paling dominan di rantau Asia Tenggara dalam tempoh terdekat.
“Kalau tengok momentum dia sekarang, memang naik sahaja tanpa turun. Itu membezakan dia dengan pelari lain sebelum ini sebab itu saya rasa rekod 5,000m dan 10,000m saya boleh pecah bila-bila masa sahaja,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ramachandran menegaskan kejuaraan di pentas antarabangsa lebih penting berbanding hanya memecahkan rekod dan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini bakal menjadi penanda aras sebenar buat Kristian.
“Rekod memang penting tetapi apa yang saya mahu lihat, Kristian berjaya menang emas di Sukan SEA. Selepas saya, kali terakhir Malaysia menang emas 5,000m dan 10,000m pada 1999 di Brunei, jadi saya harap dia mampu akhiri kemarau itu.
“Dulu zaman saya trek lain, fasiliti pun terhad. Sekarang semuanya lebih maju dan itu beri kelebihan kepada atlet. Sebab itu saya percaya Kristian berada di landasan yang tepat untuk cipta sejarah baharu,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, Ramachandran turut meluahkan keyakinan berpotensi menyerlah dalam 1,500m sekiranya terus mengekalkan prestasi semasa dan meleburkan rekod itu, 3:45.70s yang dicipta oleh Mahendran Vaidevellan pada 11 Disember 2007. – KOSMO! ONLINE