PETALING JAYA – Seorang anggota tentera dilaporkan hilang lebih seminggu setelah selesai mandi-manda di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor pada 23 Ogos lalu.
Menurut kakaknya yang memuat naik hantaran di TikTok @qienis_, adiknya Muhammad Ammar Mohd. Ariffin, 27, keluar kem pada 22 Ogos untuk berkursus di Institut Latihan Pengurusan Materiel (Insmat) Kinrara Puchong.
Kemudian, kata kakaknya, Muhammad Ammar pergi berjoging serta bertemu rakan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebelum bermandi-manda di Sungai Kedondong pada 23 Ogos.
“Rakan-rakannya berkata adik (Muhammad Ammar) memandu kereta berasingan dan datang lambat. Adik juga parkir kereta agak jauh, mereka (rakan-rakan) tidak pasti kereta apa.
“Tiada yang tahu status Ammar selepas itu. Dia dipercayai last ‘online’ pada pukul 5.16 petang hari yang sama, berdasarkan ‘seen’ mesej saya di WhatsApp.
“Selepas itu kami cuba telefon tapi panggilan akan masuk voicemail (telefon mati). WhatsApp cuma ‘single tick’ sejak malam tadi (25 Ogos),” tulisnya.
Katanya lagi, Muhammad Amar didapati tidak balik kem sejak 24 Ogos lalu dan rakan sebilik serta pihak penyelia juga tidak tahu keberadaan adiknya.
“Sampai ke hari ini, kami masih tidak dapat menghubunginya. Dan adik pun tiada hubungi kami. ‘Superior’ dia juga tak dapat nak kesan dia,” katanya.
Selain itu, wanita itu juga berkata, dia telah menyemak dengan hampir kesemua hospital di Kuala Lumpur dan Selangor dengan menyatakan nombor kad pengenalan adiknya, namun tiada jawapan ditemui.
Wanita itu juga berharap agar adiknya segera ditemui dan memohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan Muhammad Ammar.
“Ammar atau abang cik, kalau kau baca ni. Tolong lah balik, sekurang-kurangnya jumpa mama. Kami semua risaukan kau. Apa-apa masalah kita bincang sama-sama dan cari solusi.
“Semua turun Kuala Lumpur dari Melaka nak cari kau. Ramai-ramai pun amik cuti sebab sama-sama risaukan kau. Sesiapa yang ada maklumat sila mesej saya. Terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE