Lebih 100,000 orang hadir meriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025

21 hours ago 3

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini berjaya merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengungjung terdiri daripada pelbagai rakyat berbilang kaum, sekali gus menterjemahkan semangat patriotik tinggi dalam kalangan masyarakat.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menzahirkan perasaan bangga dan cukup gembira selepas semua perancangan yang disusun sebeluj ini berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan jumlah kehadiran berdasarkan data kita peroleh daripada Perbadanan Putrajaya adalah lebih daripada 100,000 orang yang hadir.

“Selain itu, seramai 14,062 orang juga turut terlibat dalam acara perbarisan.

“Berbeza pada tahun ini, kita juga menyediakan acara sisipan bagi mereka yang hadir di mana rakyat boleh pergi ke sekitar Dataran Monumen Alam Baru untuk menyertai program Riuh Merdeka sehingga pukul 6 petang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa menyantuni pasukan grafik manusia yang terdiri daripada kumpulan pelajar dari pelbagai sekolah.

“Mereka telah berlatih selama lebih dua bulan untuk acara hari ini selain beliau turut menitipkan pesan kepada pelajar berkenaan bahawa persembahan itu antara terbaik yang pernah disaksikan,” katanya.

Tambah Fahmi, beliau juga mendapati ada kumpulan orang ramai berkampung di Putrajaya sejak petang semalam selain pihaknya turut mengambil inisiatif menyediakan lebih banyak tangga kambing untuk kegunaan pengunjung.

“Selain itu, ada beberapa perkara yang rakan-rakan media (usulkan) terutama jurufoto meminta supaya pihak penganjur menyusun susunan lebih strategik pada masa depan.

“Hari ini, kita berupaya untuk menyusun beberapa perkara, tetapi pada masa depan, kita akan berusaha lebih baik lagi,” jelasnya.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian
utama.

Ia sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai perpaduan dan kemanusiaan.

Tumpuan sambutan hari ini adalah acara perbarisan dan perarakan melibatkan 14,062 peserta menampilkan komponen seperti pancaragam, aset hidup dan kenderaan, serta kontinjen daripada sektor penting negara termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.

Sambutan kali ini menampilkan kelainan menerusi penyertaan julung kali daripada Kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 bersempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta Kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |