Lagi pokok tumbang di Shah Alam

19 hours ago 7

PETALING JAYA – Insiden pokok tumbang sekali lagi dilaporkan berlaku di Seksyen 7, Shah Alam mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads oleh pengguna Farisfoxz, kejadian terbaharu itu berlaku di lokasi sama yang menyaksikan sebatang pokok dikatakan tumbang semalam.

“Hati-hati kalau lalu dekat pokok-pokok besar ni. Harap pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) segera pantau,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam, khususnya pelajar yang sering menggunakan laluan tersebut.

Seorang pengguna, nrlhvdxhere_ berkata, laluan itu kebiasaannya digunakan oleh pelajar dan bernasib baik kejadian berlaku ketika cuti semester.

“Ya Allah, nasib sekarang student dah start (mula) cuti. Kalau tak memang laluan student (pelajar) je ni,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Faizal menyifatkan pokok di kawasan tersebut sudah terlalu lama dan wajar diberi perhatian.

“Rasanya pokok dekat situ pun dah lebih kurang baya aku. Boleh fikir nak trim (memangkas) ke nak tanam semula. Pokok tu bukan kecil,” ujarnya.

Sementara itu, Kulobmatamin berharap agar tiada lagi kejadian melibatkan pengguna jalan raya.

“Semoga semuanya selamat dan tiada lagi yang melibatkan pengguna jalan raya,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, dua wanita yang terselamat dalam insiden kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Seksyen 7, merupakan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut sumber, kedua-dua iaitu Dr. Nur Shahidah Ab. Aziz, 39, dan Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata semasa kejadian mereka menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander.

Nur Shahidah mengalami luka di di bahagian kepala dan muka manakala Shareena cedera di bahagian pinggang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |