BALIK PULAU – Wanita dengan kostum anime menyerupai karakter ‘Korumi Tokisaki’ yang ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat 28 sebuah kondominium di Bayan Lepas di sini, malam tadi dikatakan mengalami tekanan emosi setelah ditinggalkan kekasih selain sedang hamil lima bulan.
Mangsa, Cheah Sze Wei, 34, dan tidak bekerja ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati di petak parkir kereta, aras bawah perumahan berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 9.10 malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan menerusi hasil temubual dengan ibu mangsa.
Menurutnya, wanita terbabit juga mendakwa yang dia tidak menyedari tindakan anaknya berusia 34 tahun itu termasuk dilaporkan sudah meninggal dunia.
“Temubual ibu si mati mengatakan si mati dalam keadaan tekanan kerana ditinggalkan teman lelaki dan telah mengandung lima bulan tetapi tidak tahu si mati telah terjun dalam bilik dan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di bilik kedua rumah si mati juga telah menjumpai kad pengenalan atas nama si mati dan sebuah telefon yang dipercayai miliknya.
“Keadaan tingkap sliding di biliknya juga terbuka disyaki si mati telah terjun ke bawah melalui tingkap tersebut kerana mempunyai kesan tapak kaki atas meja yang diletakkan di tepi tingkap,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, hasil temubual dengan jiran mereka di tingkat 28 juga menyatakan si mati tinggal bersama ibunya dan pernah nampak dua beranak keluar masuk rumah tersebut.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita dengan kostum anime dan berambut perang itu ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkap sebuah kondominium di Bayan Lepas di sini.
Difahamkan, kejadian disedari penduduk selepas terdengar dentuman kuat dari lokasi kejadian, berhadapan sebuah tadika. – KOSMO! ONLINE