BARCELONA – Sebuah armada kecil (flotila) membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis termasuk sukarelawan kesedaran perubahan iklim Greta Thunberg belayar dari Barcelona semalam untuk cuba ‘memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza’, kata penganjur.
Pihak penganjur iaitu Global Sumud Flotilla berkata, mereka belayar dari bandar pelabuhan Sepanyol itu untuk membuka koridor kemanusiaan dan menamatkan genosid berterusan terhadap rakyat Palestin.
Penganjur tidak mendedahkan bilangan kapal yang belayar atau waktu pelayaran yang tepat.
Konvoi itu dijangka tiba di Gaza pertengahan September ini.
“Ini akan menjadi misi solidariti terbesar dalam sejarah, dengan lebih ramai orang dan lebih banyak kapal berbanding semua percubaan sebelumnya,” kata aktivis Brazil, Thiago Avila kepada wartawan di Barcelona minggu lalu.
Penganjur mengatakan, berpuluh-puluh kapal lain dijangka berlayar dari pelabuhan Tunisia dan rantau Mediterranean lain pada 4 September ini.
Aktivis juga akan mengadakan demonstrasi serentak dan protes lain di 44 negara ‘sebagai solidariti dengan rakyat Palestin’, kata Thunberg di laman Instagram.
Selain Thunberg, konvoi itu disertai oleh aktivis dari beberapa negara, ahli parlimen Eropah dan tokoh awam seperti bekas datuk bandar Barcelona, Ada Colau.
“Ini adalah misi sah di bawah undang-undang antarabangsa,” kata ahli parlimen Portugal, Mariana Mortagua yang akan menyertai misi itu kepada wartawan di Lisbon minggu lalu.
Global Sumud Flotilla adalah sebuah kumpulan bebas tanpa kaitan dengan mana-mana kerajaan atau parti politik. Sumud pula bermaksud ‘ketabahan’ dalam bahasa Arab.
Israel menyekat dua percubaan aktivis untuk menghantar bantuan melalui kapal ke Gaza, pada Jun dan Julai lalu.
Pada Jun lepas, 12 aktivis di atas kapal layar Madleen dari Perancis, Jerman, Brazil, Turkiye, Sweden, Sepanyol dan Belanda telah dipintas oleh tentera Israel 185 kilometer ke barat Gaza.
Penumpang-penumpangnya, termasuk Thunberg ditahan dan akhirnya diusir.
Pada Julai lalu, 21 aktivis dari 10 negara dipintas ketika mereka cuba mendekati Gaza dengan kapal lain, Handala. – AFP