KKR bina jambatan Bailey di lokasi tanah mendap di Machang

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memasang jambatan Bailey di laluan FT008, Seksyen 348.10 350.20, Jalan Gua Musang – Kota Bharu berdekatan Machang yang ketika ini ditutup akibat mendapan tanah.

Komander Bilik Gerakan Bencana (BigBen), Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Muhammad Shukeri Mohammad berkata, pihaknya telah menggerakkan jambatan sementara itu ke lokasi terbabit dan kerja-kerja pemasangan sedang dilakukan.

Jelasnya, pemasangan jambatan tersebut dijangka mengambil masa seminggu dan laluan tersebut akan dibuka kepada pengguna selepas kerja-kerja tersebut selesai.

“Kerja-kerja pemasangan Bailey telah bermula hari ini oleh pasukan Bailey JKR Machang, JKR Kinta dan Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

“Kerja pemasangan ini akan mengambil masa seminggu dan dijangka siap pada Sabtu depan. Kita jangka laluan ini akan dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada Ahad,” katanya.

Lokasi tanah mendap yang berlaku di laluan di laluan FT008, Seksyen 348.10 350.20, Jalan Gua Musang – Kota Bharu berdekatan Machang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Kesiapsagaan KKR Dalam Menghadapi Monsun Timur Laut 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Terdahulu, media melaporkan, laluan FT008 di Seksyen 348.10 350.20 yang juga jalan utama yang menghubungkan Gua Musang ke Kota Bharu ditutup di kedua-dua arah kepada semua jenis kenderaan susulan rekahan jalan akibat mendapan yang semakin teruk.

Penutupan sepenuhnya ia dibuat sejak 14 September lalu kerana ia berpontensi membahayakan keselamatan pengguna jalan tersebut sekiranya terus digunakan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |