PERNAH menyimpan kemas hal pernikahan daripada pengetahuan umum, penyanyi Bunga mengakui kehidupannya semakin bahagia dengan kehadiran teman sejiwa, Amzar Sabri seorang komposer pada 14 Oktober 2023.
Saling melengkapi, pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, 25, itu bagaimanapun belum mempunyai perancangan untuk menimang cahaya mata dalam tempoh terdekat. Dia dan suami malah sepakat hanya mahu memiliki zuriat dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Perancangan punya anak memang ada, cuma bukan sekarang.
“Umur sekarang 25 tahun, mungkin pada usia 27 atau 28 tahun nanti insya-Allah ada rezeki untuk timang cahaya mata,” katanya selepas pelancaran album 100 Lagu 100 Tahun, baru-baru ini.
Pada masa sama, Bunga selesa menjalani kehidupan rumah tangga secara bersederhana tanpa terlalu berkongsi dalam media sosial.
“Sebenarnya sebelum dan selepas umumkan perkahwinan sama sahaja. Saya memang jarang tunjuk suami dalam media sosial, saya hanya jalani kehidupan seperti biasa.

“Saya tak terbeban atau lega, hanya rasa biasa. Mungkin saya orang yang begitu, kadang-kadang rasa nak tunjuk, saya kongsi, tapi tidaklah setiap masa. Amzar ada kerja dan saya pun ada kerja sendiri.
“Bila kami rasa macam nak berkongsi sesuatu yang kelakar atau menggembirakan kami akan buat, cuma kami tak kerap berkongsi,” katanya.
Sebelum ini, Bunga merahsiakan pernikahan pada 14 Oktober 2023, namun hanya mendedahkan setahun selepas tarikh pernikahan.
Tiada resepsi
Mengulas tindakan melangsungkan pernikahan tanpa resepsi tidak seperti pasangan muda lain, akuinya dia dan suami lebih memikirkan persediaan untuk masa depan.
“Langkah mengundang hanya 300 tetamu termasuk rakan rapat adalah untuk bersederhana dan tidak membazir buat pasangan baru berkahwin seperti kami.
“Lagipun kita tidak tahu mata dan perasaan orang lain bagaimana,” katanya.
Mengenai pembabitan projek 100 Lagu 100 Tahun yang menghimpunkan 100 lagu Melayu terbaik dalam tempoh seabad dan dinyanyikan semula, Bunga akui sangat berbangga dipilih bersama barisan penyanyi lain.
“Ditawarkan menyanyikan semula lagu klasik, Ulek Mayang bersama Kaka Azraff sebagai peluang keemasan sekali gus memperkenalkan dendangan ini kepada khalayak muda,” kongsinya.
Projek 100 Lagu 100 Tahun turut membariskan penyanyi lain, termasuklah Datuk Jamal Abdillah, Wany Hasrita, Lan Solo dan Fitri Haris.