SHAH ALAM – Keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin mendapat aku janji interim agar Menteri Pertahanan dan kementeriannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menerima aku janji sementara dikeluarkan Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek mewakili Menteri Pertahanan dan kementerian itu sebagai responden.
Ini selepas permohonan dibuat ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon agar tiada mana-mana kenyataan termasuk rasmi bagi penerbitan di media massa sementara menunggu keputusan penuh siasatan polis dan bedah siasat kedua Syamsul Haris, 22.
“Justeru, aku janji ini adalah interim untuk menunggu sehingga pelupusan kes ini (merujuk kepada notis usul permohonan Ummu Haiman). Jadi, 26 September ini ditetapkan bagi mendapatkan aku janji daripada Menteri Pertahanan dan kementeriannya,” tegas Adlin.
Berdasarkan usul notis permohonan itu, Ummu Haiman diwakili Peguam Datuk Naran Singh memohon tiada sebarang kenyataan daripada responden berkenaan yang boleh mengganggu perjalanan siasatan termasuk laporan bedah siasat kedua mengenai kematian Syamsul Haris akan didapati bersalah dengan cara menghina mahkamah ini.
Pada prosiding itu, Naran berkata, banyak kenyataan dikeluarkan bukan sahaja daripada Menteri Pertahanan malah pegawai tentera dan pihak berkaitan berkaitan kematian Syamsul Haris.
“Kita harap ia dikeluarkan selepas bedah siasat tersebut selesai,” jelasnya
Roziza memaklumkan pihaknya baharu sahaja menerima permohonan secara rasmi pada pagi ini.
“Saya tidak dapat arahan daripada responden. Jadi, kami perlu dapatkan arahan lanjut daripada responden dan memohon tarikh baharu berkaitannya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, tiada sebarang unsur penderaan dikesan dalam kematian Syamsul Haris, 22, menerusi Jawatankuasa siasatan berhubung kes berkenaan.
Dapatan itu diperoleh jawatankuasa berkenaan melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Kubu Syamsul Haris kemudiannya digali semula pada 29 Ogos lalu bagi bedah siasat kedua selepas perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu.
Sebelum ini, Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.
Jenazah pelatih itu kemudianmnya dikebumikan keesokkan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu. – KOSMO! ONLINE