Kerajaan kaji RUU Tribunal Anti-Buli tidak terhad umur bawah 18 tahun

2 hours ago 4

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan sedang mengkaji sama ada pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli perlu diperluaskan kepada semua peringkat umur berbanding cadangan awal iaitu hanya melibatkan individu berusia bawah 18 tahun sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu dibuat selepas pelbagai maklum balas diterima pihaknya susulan sesi Town Hall Antibuli yang telah dilaksanakan, serta yang diterima melalui portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI).

Menurut beliau, hal itu wajar kerana mangsa buli tidak hanya melibatkan individu berusia bawah 18 tahun, sebaliknya ia turut berlaku dalam institusi pekerjaan di mana mangsa berusia lebih 18 tahun.

“Tetapi jika undang-undang ini melibatkan semua usia, ia akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain, bukan sahaja Kementerian Pendidikan tetapi juga Kementerian Pengajian Tinggi, institusi awam serta swasta malahan maktab ketenteraan dan juga polis kerana elemen buli juga berlaku di situ.

“Setakat ini, banyak respon yang diterima mahu melihat undang-undang ini lebih meluas, tidak hanya kepada individu berusia bawah 18 tahun, jadi kita akan kaji,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Antibuli Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Tambah Azalina, pihaknya berharap Tribunal Anti-Buli yang sedang dirangka ketika ini bakal mengurangkan kes-kes buli khususnya di institusi pendidikan seluruh negara, seperti kesan positif yang dicatat pelaksanaan Tribunal Gangguan Seksual.

Menurutnya, Tribunal Gangguan Seksual yang membolehkan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan diambil secara lebih tegas dan pantas berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat sekaligus mengurangkan jumlah laporan kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |