Keputusan gali semula kubur pelatih Palapes UiTM 20 November ini

1 week ago 10

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 20 November depan sebagai tarikh pendengaran keputusan menggali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar permohonan daripada pihak pemohon dan responden.

Pemohon ayah Allahyarham, Muhammad Zaidi Abdul Rahman diwakili Peguam Tun Laila Tun Rafaee.

Sementara, Peguam Kanan Persekutuan, Azroul Hisham Azulan mewakili responden pertama iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kamilzah Salleh yang mewakili Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sebagai responden kedua.

Mahkamah turut menetapkan tarikh-tarikh iaitu 10 Oktober depan bagi kedua-dua responden memfailkan afidavit balasan dan 24 Oktober untuk pemohon memfailkan afidavit balasan serta 7 November bagi pemohon dan responden memfailkan hujahan bertulis.

Terdahulu prosiding itu, Tun Laila telah memohon Mahkamah bagi mengeluarkan lima perintah, iaitu kubur Allahyarham digali semula, sepasukan pakar forensik daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan bedah siasat ke atas tubuh Allahyarham dan pasukan forensik perlu mengeluarkan laporan bedah siasat selewat-lewatnya dua minggu selepas bedah siasat dijalankan.

“Kami mohon Mahkamah memerintahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas mengambil alih tugas siasatan kes dan satu inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham,” katanya ketika pengurusan kes hari ini.

Bagaimanapun, Kamilzah memohon agar diberikan tempoh empat minggu kepada pihaknya memfailkan afidavit bertulis.

Kosmo! pada 3 Januari lalu melaporkan polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian arwah ketika menjalani latihan pada November lalu.

Namun pada 21 Ogos lalu, keluarga Allahyarham mendesak siasatan terperinci dan menyeluruh apabila kematiannya disifatkan amat meragukan.

Ini apabila tiada bedah siasat dijalankan, dengan diagnosis kematian terbaru daripada Hospital Shah Alam (HSA) pada hujung Februari lalu yang mendapati kematian pelatih itu berpunca daripada latihan intensif fizikal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |