PETALING JAYA – Kekecohan di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu berpunca daripada campur tangan politik serta pihak luar, bukannya kehendak majoriti penduduk yang terjejas.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, insiden yang melibatkan pasukan polis termasuk FRU itu hanya melibatkan 14 rumah yang belum berpindah, namun keadaan digambarkan seolah-olah seluruh kawasan terbabit.
“Pada hari kejadian saya tidak berada di lokasi kerana menghadiri sambutan ulang tahun ke-40 Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, tetapi saya telah menghantar lima pegawai untuk memantau. Malangnya, suasana menjadi tegang kerana adanya unsur politik dan campur tangan NGO yang mengapi-apikan keadaan,” katanya dalam Podcast Utama, Buletin TV3 malam ini.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, isu Kampung Sungai Baru telah dijadikan modal politik hingga mencetuskan sentimen kaum di media sosial.
“Saya bersyukur saya tidak hadir kerana keadaan sangat panas. Kalau pegawai polis sendiri dibaling batu, tidak mustahil saya juga menjadi sasaran,” katanya.
Beliau berkata, tanah Kampung Sungai Baru sememangnya strategik dan menarik minat ramai pemaju sejak zaman pentadbiran tiga Perdana Menteri sebelum ini.
Namun, ketika beliau menjadi Ahli Parlimen penggal lalu, tiada pemindahan dibuat kerana beliau menolak pemaju yang tidak kukuh kewangan.
“Saya telah pesan kepada penduduk supaya jangan tandatangan kerana pemaju ini tidak berkemampuan. Malangnya selepas saya kalah PRU waktu itu, proses diteruskan dan akhirnya 67 peratus penduduk bersetuju,” jelasnya.
Johari turut mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah (Seksyen 4 dan 8) untuk memaksa baki 33 peratus penduduk berpindah.
“Ini menekan golongan B40 yang rata-ratanya penghuni rumah PKNS. Mereka dipaksa menerima keputusan walaupun jelas tidak semua bersetuju,” katanya.
Mengulas tuduhan beliau pro-pemaju, Johari menegaskan ia tidak benar kerana sejak awal lagi beliau menasihatkan penduduk agar tidak melayan syarikat terbabit.
“Sejak bila saya sokong pemaju? Hari-hari saya pesan supaya jangan percaya. Sekarang terbukti, syarikat itu sendiri terpaksa menjual 20 peratus pegangan kepada pelabur luar kerana tidak cukup dana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE