Jawatankuasa bebas ditubuh nilai laporan sisatan letupan Putra Heights

2 hours ago 2

PUCHONG – Kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa bebas terdiri daripada lapan profesional termasuk wakil kerajaan dan pembangkang bagi menilai laporan siasatan letupan saluran paip gas Putra Heights.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri awal bulan ini dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan sebelum senarai rasmi ahli diumumkan.

Katanya, jawatankuasa itu akan meneliti laporan yang dikemukakan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, jabatan berkaitan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

“Ahli jawatankuasa ini terdiri daripada pakar pelbagai bidang termasuk cerun, kebakaran, paip, minyak dan gas serta pakar akademik.

“Senarai itu akan dikeluarkan selepas mereka menerima pelantikan secara rasmi dan kita jangka proses itu dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja meninjau status bina semula dan baik pulih rumah mangsa, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan di Taman Putra Harmoni, beliau berkata, terdapat 79 unit rumah perlu dibangunkan semula sepenuhnya dengan 49 pemilik bersetuju manakala 30 lagi menolak atas sebab tertentu.

“Itu hak mereka (yang menolak), namun kerajaan tetap menawarkan bantuan atas dasar ihsan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Selain itu, sebanyak 120 unit rumah dalam kategori baik pulih sederhana dengan kos antara RM30,000 hingga RM60,000.

“Daripada 86 tuntutan bernilai RM3.9 juta, sebanyak 61 unit telah diselesaikan berjumlah RM2.6 juta, manakala baki selebihnya akan diselesaikan menjelang Oktober ini,” jelasnya.

Sementara itu di Kampung Kuala Sungai Baru yang diuruskan Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 11 unit rumah dibina semula dengan tiga daripadanya siap sepenuhnya, manakala selebihnya dijangka siap hujung Oktober.

“Selain itu, terdapat 94 unit rumah dibaik pulih dengan kos sekitar RM30,000. Sebanyak 63 tuntutan bernilai RM1.7 juta telah diterima dengan 50 daripadanya telah dilunaskan,” katanya.

Menurut Amirudin, tuntutan selebihnya yang melebihi siling kos sedang diteliti bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri.

Dalam aspek prasarana, pemasangan semula lampu jalan Aminurdin berkata, ia telah dilaksanakan, manakala kerja jalan raya hanya akan dibuat selepas selesai kerja baik pulih dan bina semula rumah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |