Jangan ulang sikap penjajah, tamak haloba, rakus demi kekayaan – Anwar

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemerdekaan sebenar tidak cukup hanya dengan mengusir penjajah, sebaliknya menuntut perubahan sikap, akhlak dan tata kelola agar tidak mengulangi kerakusan penguasa kolonial.

Dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang malam tadi, beliau mengingatkan rakyat bahawa kebebasan yang dinikmati hari ini adalah hasil darah, air mata dan pengorbanan generasi terdahulu dari Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

“Apa gunanya penjajah diusir, jika penguasa tempatan yang menggantikannya berperangai sama…tamak haloba, rakus, menghina warna kulit dan menggunakan kekuasaan untuk meragut kekayaan?

“Inilah warisan sikap penjajah yang masih berterusan hingga kini. Kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas jasad, tetapi merdeka jiwa dan pemikiran.

“Ia harus dibina dengan nilai, akhlak dan tatakelola yang baik, bukan dengan mengulangi kerakusan penguasa terdahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menyebut tokoh-tokoh pengasas negara seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens yang menyatukan kepelbagaian untuk membentuk Malaysia berdaulat.

Beliau menegaskan, hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan tidak bercanggah dengan prinsip kesaksamaan peluang untuk semua, sebaliknya menjadi asas kepada perpaduan nasional.

“Dalam Malaysia yang merdeka, perpaduan adalah tonggak. Hak Melayu dan bumiputera dijamin dalam Perlembagaan, tetapi kemajuan negara juga mesti berpaksikan kesaksamaan peluang bagi semua. Inilah yang membezakan kita daripada prasangka dan diskriminasi penjajah,” katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa cabaran semasa termasuk pergolakan geopolitik dunia dan krisis kemanusiaan di Palestin, menuntut Malaysia merapatkan jurang kaum, agama dan wilayah.

Pada masa sama, beliau memuji kemajuan negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Johor yang muncul sebagai gergasi industri, Sarawak sebagai hab tenaga serantau dan Sabah yang disifatkan memiliki potensi pertumbuhan tertinggi.

Menurutnya, visi Malaysia Madani mengimpikan kemajuan teknologi dan ekonomi yang seimbang dengan nilai ihsan, rahmah dan budaya tempatan.

“Kita mahu maju, tetapi jangan tinggalkan budi pekerti dan maruah insan. Inilah teras Malaysia Madani,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Anwar turut menyampaikan hadiah kepada peserta gerakan Bersama Malaysiaku yang mengangkat guru, jururawat, pekerja pembersihan dan buruh sebagai wira pembangunan negara.

Beliau berharap semangat Hari Malaysia akan terus memandu rakyat membina sebuah negara makmur, berdaulat dan berakhlak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |