KUALA LUMPUR – “Kenapa rakam saya… ada hak ke tanya soalan pada saya? Minta kebenaran dulu kalau nak rakam muka saya,”
Itu kata-kata seorang pemandu lori berusia 27 tahun yang enggan dirakam pihak media ketika ditahan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Sungai Besi (arah selatan), hari ini.
Lelaki terbabit difahamkan memandu lori membawa muatan tangki oksigen dari Petaling Jaya menuju ke Seremban sebelum kenderaannya diperiksa pihak berkuasa ekoran cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
Ketika ditanya wartawan berhubung operasi tersebut, lelaki berkenaan menolak untuk memberikan sebarang komen dan menegaskan tidak mahu wajahnya dirakam.
Lelaki itu akhirnya beransur tenang selepas dipujuk oleh seorang pegawai penguat kuasa dan tindakan sita terhadap kenderaan diteruskan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam, berkata pihaknya mengeluarkan saman terhadap dua pemandu lori selepas didapati memandu kenderaan tanpa cukai jalan dan insurans.
“Saman yang kami keluarkan kepada dua pihak iaitu pemandu lori dan majikan, jadi dua-dua itu akan dikenakan tindakan.
“Banyak lori-lori ini tiada insurans…apa alasan yang mereka bagi adalah pemandu lori sudah beri peringatan kepada majikan untuk perbaharui cukai jalan namun tidak diendahkan,” ujarnya.
Hamidi Adam berkata, operasi bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari itu melibatkan seramai 55 anggota penguat kuasa.
“Sebanyak 203 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 51 kenderaan diambil tindakan. Dua daripadanya disita kerana didapati melakukan kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans.
“Selain itu, sebanyak 132 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan seperti Notis P22, PG1, 61(1), 63(3), Notis Sita 64 (1) dan Notis 82,” katanya.
Menurut beliau, kesalahan utama yang direkodkan ialah Lesen Memandu Kompeten tamat tempoh sebanyak 37 kes, Lesen Vokasional tamat tempoh (15), cukai jalan tamat tempoh (19) dan insurans tamat tempoh (17).
Hamidi berkata, pemeriksaan turut memberi tumpuan terhadap pematuhan penggunaan tali pinggang keledar dalam bas ekspres.
“Hasil pemeriksaan terhadap dua buah bas mendapati empat penumpang melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita gagal memakai tali pinggang keledar walaupun peringatan telah dikeluarkan melalui notis serta rakaman audio oleh pengusaha bas,” ujarnya.
Selain itu, lapan kesalahan melibatkan ubah suai kenderaan dikesan, dua kes nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta tayar lori botak yang membahayakan keselamatan. – KOSMO! ONLINE