NILAI – Berdepan persekitaran kos penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit yang terus meningkat, orang ramai sudah mula mencari alternatif untuk mengurangkan beban perbelanjaan kerana selalunya bajet yang perlu diperuntukkan dalam segmen tersebut mengambil masa panjang.
Bersandarkan faktor itu, banyak pemain telah menawarkan pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan produk alternatif terbaik untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Salah sebuah syarikat yang sedang mengorak langkah perkembangan dalam bidang berpotensi ini adalah Iswanah Resources Sdn. Bhd. (Iswanah Resources) yang telah beroperasi sejak 10 tahun dan kini memiliki 10 cawangan.
Antaranya terdapat di Batu Caves, Bangi, Rawang, Senawang, Shah Alam dan Kota Damansara.
Syarikat ini memfokuskan kepada penawaran perkhidmatan gabungan akupuntur dan fisioterapi secara integratif dan sistematik.

Visi syarikat adalah untuk menawarkan penjagaan yang terbaik yang dapat memenuhi keperluan pelanggan tidak kira golongan muda dan warga emas sekali gus membantu ke arah pembentukan masyarakat yang sihat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Krishnan Kannan berkata, jika sebelum ini akupuntur lebih memfokuskan kepada rawatan yang diamalkan kaum Cina tetapi persepsi tersebut sudah berubah dan masyarakat pelbagai bangsa semakin mengenali kebaikan akupuntur,
“Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengiktiraf akupuntur sebagai salah satu kemudahan yang baik dalam dunia perubatan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran outlet francais pertamanya di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Iswanah Resources, Dr. Kasthury Muthu.
Krishnan menjelaskan, syarikat kini mahu menawarkan lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan yang berminat untuk menjadi pemilik outlet francais Iswanah di mana-mana lokasi yang strategik.
“Kami merangka pelan untuk membuka 50 cawangan dalam tempoh lima tahun dan saya berkeyakinan misi ini akan tercapai kerana sebelum ini kami menerima banyak pertanyaan dan permintaan untuk pembukaan outlet Iswanah di luar Lembah Klang.
“Pelaburan untuk pembukaan sebuah cawangan yang memfokuskan kepada akupuntur atau fisioterapi atau sebuah cawangan yang memiliki gabungan dua kemudahan tersebut adalah antara RM380,000 hingga RM480,000,” jelasnya.

Tambah beliau, cawangan pertama di Nilai di bawah konsep francais ini dianggap sebagai projek perintis kearah pengoperasian dalam segmen tersebut yang lebih rancak pada masa depan.
Beliau melihat potensi pembukaan cawangan baharu di Kuala Lumpur dan banyak lagi kawasan berpotensi termasuklah di Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, pihaknya juga melihat sesebuah cawangan yang menawarkan gabungan dua perkhidmatan iaitu fisioterapi dan juga akupuntur mencatat jumlah kunjungan pelanggan yang tinggi kerana ia melengkapkan lagi kemudahan rawatan kesihatan pelanggan.
Sehubungan itu, beliau menawarkan peluang berpotensi itu kepada mana-mana usahawan yang benar-benar berminat dan bukan menceburi kerana wang dan keuntungan semata-mata.
Ia kerana perkhidmatan ini perlukan layanan yang baik daripada para petugas agar mereka lebih selesa, berbual dan bertanya tentang tahap kesihatannya, malah pihaknya juga akan menghubungi pelanggan selepas dia pulang ke rumah untuk mengetahui tahap kesihatannya selepas mendapat perkhidmatan di cawangan Iswanah.

Krishnan yang memiliki latar belakang perakaunan dan pernah melanjutkan pelajaran khusus dalam bidang ayurveda di India berkata, pulangan daripada pelaburan untuk sesebuah cawangan di bawah konsep francais ini bakal diperoleh antara dua hingga dua setengah tahun yang mana pada penghujung tahun ketiganya, pemilik cawangan itu boleh menuai hasil daripada pelaburannya itu.
Lebih menarik, banyak juga institusi pengajian tinggi (IPT) yang telah menawarkan program fisioterapi kepada pelajar dan ia membuka peluang kepada graduan program ini bekerja di pelbagai pusat fisioterapi di seluruh negara.
“Pihak IPT juga kini menyedari betapa pentingnya bidang fisioterapi untuk diceburi dan ia bakal menawarkan satu peluang kerjaya yang bakal menjamin masa depan mereka,”
ujarnya.
Krishnan memaklumkan, bayaran kos perkhidmatan yang ditawarkan adalah antara serendah RM30 untuk konsultasi dan rawatan akupuntur serendah RM80, manakala fisioterapi pula adalah daripada serendah RM130 yang mana pihaknya akan mencadangkan kepada pelanggan untuk mengambil pakej-pakej yang ditawarkan.
Antara kumpulan pelanggan yang ramai datang ke cawangan Iswanah adalah mereka yang menghidap penyakit angin ahmar, masalah sakit pinggang atau yang lain khususnya mereka yang bekerja di pejabat, aktif dalam sukan dan juga warga emas.
Lebih menarik, ia juga menjadi destinasi pilihan kepada pasangan suami isteri menghadapi masalah kesuburan yang mana pakej yang ditawarkan juga berpatutan.
Ditanya tentang cabaran yang dihadapi dalam dunia perniagaan tersebut, Krishnan menerangkan, usahawan memerlukan nilai pelaburan yang besar dalam pembukaan sesebuah outlet.
Bagaimanapun, beliau menyakini bahawa model bisnes yang diterapkan dalam konsep francais itu, pastinya memberi jaminan hasil pendapatan yangn baik dalam perniagaan lebih berdaya saing. -KOSMO! ONLINE

18 hours ago
9










![[VIDEO] ‘Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-5.09.39-PM.jpeg)






































