KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan seramai 67 individu bagi membantu siasatan insiden kekecohan yang turut mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Kampung Sungai Baru, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dalam kenyataannya hari ini berkata, mereka yang dipanggil terdiri daripada 52 anggota polis termasuk Ketua Polis Daerah, tiga pegawai Mahkamah Kuala Lumpur, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dua pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, turut diambil keterangan seorang peguam KL City Developer, seorang wakil penduduk Kampung Sungai Baru, seorang pengarah Syarikat KL City Gateway Sdn. Bhd., empat orang awam (pengadu) serta seorang wanita tempatan yang menjaga salah seorang tangkapan.
“Polis turut membuat dua tangkapan baharu melibatkan lelaki tempatan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan seramai lapan suspek, kesemuanya lelaki tempatan.
“Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Rabu lalu.
“Bagaimanapun, kertas siasatan dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut dan akan dirujuk semula kepada TPR pada hari ini dengan cadangan pertuduhan terhadap semua orang kena tuduh,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian kepala akibat rempuhan halangan polis oleh sekumpulan individu di kawasan operasi terbabit.
Susulan daripada kejadian itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. – KOSMO! ONLINE