Inkues tertangguh akibat kebocoran maklumat, Koroner kecewa

2 hours ago 4

KOTA KINABALU – “Saya sangat kecewa. Disebabkan tindakan individu-individu yang tidak bertanggungjawab, perjalanan inkues ini terganggu.”

Luahan tersebut dibuat oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan sebelum terpaksa menangguhkan prosiding inkues yang memasuki hari ke-10 hari ini ke minggu hadapan.

Penangguhan tersebut adalah bagi membolehkan peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Mahkamah Koroner sepatutnya mula mendengar keterangan saksi kanak-kanak selepas ketua warden, Azhari Abd. Sagap selesai memberi keterangan,hari ini.

“Ini juga satu peringatan kepada orang awam. Apabila berlaku kebocoran sebegini, ia memang akan mengganggu perjalanan inkues. Inilah (penangguhan) yang berlaku pada hari ini. Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu, inkues terganggu.

“Saya sangat kecewa tetapi apa yang saya boleh buat. Disebabkan itu, saya telah meminta Datuk Ram untuk membuat laporan polis secepat mungkin,” kata Koroner itu.

Terdahulu, Ram memberitahu mahkamah bahawa butiran peribadi anak guamnya seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah telah didedahkan di media sosial. Turut tersebar di aplikasi WhatsApp ialah sebahagian penyataan saksi remaja yang turut dinamakan sebagai Pelajar A.

“Saya telah berjumpa dengan Pelajar A dan ibunya dan disebabkan oleh apa yang berlaku hari ini, saya tidak fikir dia bersedia untuk memberikan keterangan hari ini. Dia takut. Saya akan membuat laporan polis. Nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah (dibocorkan).

“Di TikTok juga ada. Seolah-olah mereka tahu yang saksi kanak-kanak akan beri keterangan hari ini,” kata peguam itu.

Selain Pelajar A, turut tersebar nama penuh dan nombor kad pengenalan beberapa penghuni Asrama Qurratu ‘Ayun yang menempatkan dua blok pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah an Bolk B, Sumayyah.

Blok Rabiatul Adawiyah merupakan tempat Zara Qairina menetap dan merupakan lokasi akhir remaja terbabit ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri.

Pada minggu hadapan, prosiding inkues akan dijalankan secara tertutup memandangkan ia membabitkan saksi-kanak-kanak. Hanya Koroner, jurubahasa mahkamah dan pihak-pihak berkepentingan sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam dewan mahkamah.

Secara keseluruhan, seramai 35 orang saksi kanak-kanak akan dipanggil memberi keterangan.

Menurut Amir Shah, saksi kanak-kanak akan ditempatkan di dalam bilik saksi dan akan ditemani seorang pendamping dan seorang jurubahasa mahkamah.

“Saksi kanak-kanak akan diletakkan di hadapan kamera, jurubahasa akan duduk di sebelah saksi dan akan membantu menunjukkan bukti kepada saksi. Seorang pendamping kanak-kanak, akan duduk di belakang saksi kanak-kanak supaya dapat dilihat dengan jelas dalam kamera.

“Pihak-pihak terlibat juga dibenarkan untuk memakai baju biasa, tidak perlu pakai hitam putih. Kita tidak mahu saksi kanak-kanak berasa takut atau tertekan,” ujar koroner itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |