
- Oleh MOHD. FAHMI ISMAIL
- 23 Ogos 2025, 11:36 am
SERDANG – Polis sedang mengesan individu yang memuat naik video tular memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta ibunya selepas tertinggal di hadapan sebuah sekolah di Seri Kembangan, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan ibu bapa murid terbabit selepas laporan polis dibuat berhubung penularan video berkenaan.
“Semakan mendapati kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi kandungan di media sosial tanpa pengesahan sahih.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa menyemak fakta sebelum memuat naik sebarang video serta berhati-hati ketika membuat perkongsian,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 37 tahun berhubung klip video tular berdurasi satu minit sembilan saat membabitkan dirinya dan anak.
Suri rumah itu membuat laporan polis berikutan menerima pelbagai komen negatif susulan penularan klip video itu. – KOSMO! ONLINE