Individu baling mercun terhadap anggota JPJ diburu

14 hours ago 7

PETALING JAYA – Polis sedang mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang disyaki membaling mercun terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa sedang melaksanakan operasi di Rawang, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di Balai Kundang, Gombak semalam.

“Polis sedang mengesan individu terlibat dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan kesalahan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh salurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, insiden itu berlaku kira-kira pukul 10 malam, Sabtu lalu ketika sepasukan anggota penguat kuasa JPJ sedang menjalankan rondaan Op Tahun Baharu Cina sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri, Rawang.

Tindakan itu diambil selepas mendapati penunggang dan pembonceng motosikal terbabit tidak memakai topi keledar.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kesalahan lain turut dilakukan, antaranya menunggang tanpa lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans.

Susulan itu, notis saman telah dikeluarkan terhadap kedua-dua individu berkenaan.

Bagaimanapun, ketika kejadian, sekumpulan penunggang motosikal yang dianggarkan seramai 20 hingga 30 orang dipercayai bertindak membaling mercun beberapa kali ke arah penguat kuasa.

Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan berkenaan kerana membahayakan anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.

Azrin berkata, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya kesalahan melibatkan menunggang tanpa lesen, tiada insurans dan gagal memakai topi keledar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |