KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) melakar sejarah menjadi hospital pertama di Asia menggunakan Sistem Pemetaan dan Ablasi Affera™ Prism-2 bersama Kateter Sphere-9™ khusus bagi rawatan gangguan ritma jantung atau ablasi.
Pengarah Klinikal Elektrofisiologi Intervensi dan Peranti Boleh Tanam IJN, Datuk Dr Azlan Hussin berkata, sistem elektrofisiologi baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 9 Februari itu menggabungkan perisian pemetaan jantung canggih dan teknologi ablasi dwi-tenaga dalam satu peranti tunggal.
Melalui keadah itu katanya, ia dapat mengurangkan keperluan kepada pelbagai alatan khusus semasa prosedur.
“Sejak mula digunakan, seramai 11 pesakit sudah menjalani rawatan ablasi menggunakan sistem berkenaan dan kesemua pesakit melalui prosedur dengan sangat baik.
“Prosedur dilakukan di bawah bius am dan tempoh masa yang diambil antara satu hingga dua jam bagi setiap pesakit berbanding sebelum ini memakan masa empat hingga lima jam.
“Tiada komplikasi berlaku dan mereka dibenarkan pulang keesokan harinya. Jadi, ia adalah sistem yang baik dan selamat untuk pesakit,” katanya pada sidang akhbar di IJN hari ini.
Mengulas lanjut, Azlan yang juga Pakar Perunding Kanan Kardiologi berkata, apabila pesakit semakin berusia, kemungkinan untuk mengalami ritma jantung yang tidak teratur juga meningkat.
“Fibrilasi atrium ialah gangguan ritma jantung paling lazim di dunia yang menjejaskan lebih 60 juta individu. Dianggarkan antara 10 peratus dan 30 peratus individu mungkin mengalami fibrilasi atrium apabila mereka meningkat usia.
“Ia berlaku apabila ruang atas jantung berdenyut secara tidak teratur sehingga mengurangkan keupayaan mengepam darah dengan cekap dan meningkatkan risiko strok serta kegagalan jantung jika tidak dirawat.
“Teknologi ini meningkatkan hasil rawatan dan menawarkan harapan baharu kepada individu yang menghidap gangguan ritma jantung berterusan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

9 hours ago
7














































