Ibu Zara Qairina enggan bedah siasat walau diberi penjelasan beberapa kali

2 hours ago 1

KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan ibu pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir enggan melakukan bedah siasat walaupun sudah diberi penjelasan beberapa kali.

Pegawai perubatan forensik, Dr Logaraj Ratha, 35, memaklumkan, beliau telah memberi penerangan berhubung kepentingan melakukan bedah siasat kepada ibu Zara, Noraidah pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, Noraidah ketika itu ditemani kakak iparnya, Nur Shira Abdullah.

“(Saya jelaskan) walaupun borang Pol. 61 tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal sebenarnya masih boleh dijalankan, namun tertakluk dengan kebenaran waris terdekat.

“Walau bagaimanapun, pihak waris Puan Noraida membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara walaupun penerangan sudah diberikan.

“Saya jelaskan sebanyak dua kali dan semasa Puan Noraidah mengisi Surat Akuan Enggan bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri, saya masih memberikan penjelasan kepadanya mengenai kepentingan melakukan bedah siasat tersebut,” katanya.

Dr. Logaraj memberitahu, Noraidah juga memaklumkan dia telah memberitahu pihak polis bahawa dirinya tidak mahu bedah siasatan dijalankan.

Beliau adalah individu yang menerima mayat Zara Qairina selepas remaja terbabit menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira pukul 5 petang, 17 Julai lalu.

Ketika penjelasan diberikan, Dr. Logaraj memberitahu, ibu Zara Qairina dalam keadaan tenang, boleh menjawab pertanyaan enggan jelas dan sedar akan keadaan sekeliling, masa dan individu yang berada pada ketika itu.

Selain itu, Dr. Logaraj memaklumkan beliau turut memberikan penjelasan bahawa salah satu ruangan dalam borang enggan bedah siasat menyatakan bahawa keluarga Zara tidak mengesyaki terdapat `foul play’ dalam kematian remaja terbabit.

“Dia (Noraidah) memberitahu saya dia faham dan menandatangi borang tersebut dengan rela hati,” katanya.

Pada petang sama, Noraidah juga memberitahu pegawai perubatan terbabit bahawa dia telah membuat satu laporan polis mengenai kematian anaknya pada hari yang sama tetapi tidak mahu berikan salinan laporan kepada Jabatan Forensik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |