Hengyuan raih kelulusan untuk terbitan 300 juta saham baharu

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Hengyuan Refining Company Berhad mengumumkan para pemegang sahamnya telah meluluskan cadangan terbitan hak boleh serah sehingga 300 juta saham biasa baharu, berserta sehingga 150 juta waran boleh asing percuma dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam.

Sebanyak 99.23 peratus undi menyokong langkah tersebut, yang bakal membuka sumber tambahan untuk mendapatkan stok suapan minyak mentah, meningkatkan kecekapan operasi, dan mengukuhkan asas ekuiti serta kedudukan kewangan syarikat.

Majoriti dana yang dikumpul akan diperuntukkan untuk pembelian stok suapan minyak mentah tambahan, iaitu bahan mentah utama untuk menapis dan menghasilkan produk petroleum.

Hengyuan ialah pembekal utama produk petroleum bertapis Shell di Semenanjung, dengan pelanggan utama lain termasuk Petronas, Petron, dan Five. Kira-kira 90 peratus daripada produk bertapis Hengyuan dijual ddalam negara, manakala selebihnya dieksport ke seluruh Asia Tenggara.

Dalam pengumuman berasingan, Hengyuan mengesahkan ia telah memeterai satu urusan strategik bekalan dan kredit dengan Trafigura Pte Ltd, salah sebuah syarikat dagangan komoditi fizikal terkemuka dunia.

Trafigura akan menyediakan Hengyuan dengan terma pembayaran yang fleksibel dan jadual penghantaran yang sejajar dengan kitaran pengeluaran loji penapisan dan keadaan pasaran, membolehkan syarikat mengoptimumkan aliran tunai dan pengurusan inventori.

Kerjasama itu turut memberikan Hengyuan akses keutamaan kepada portfolio minyak mentah global Trafigura yang pelbagai, mengurangkan pendedahan kepada gangguan bekalan dan ketidaktentuan harga.

Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata, urusan strategik dengan Trafigura bukan sekadar menawarkan syarat kredit yang menggalakkan, ia adalah mengenai kebolehpercayaan bekalan, fleksibiliti kewangan, dan ketangkasan operasi.

“Keupayaan Trafigura untuk menawarkan terma pembayaran yang disesuaikan dan akses terjamin kepada portfolio minyak mentah yang luas meletakkan Hengyuan pada kedudukan untuk bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan pasaran dan mendapatkan stok suapan optimum pada kos yang kompetitif.

“Ia adalah pemboleh daya utama bagi strategi pertumbuhan kami dalam pasaran tenaga yang semakin tidak menentu,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |