Hakim Danish tidak alami kecederaan serius

20 hours ago 7

PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli mengesahkan dirinya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius meskipun terlibat dalam satu kemalangan pada sesi ujian rasmi di Litar Jerez, Sepanyol kelmarin.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengharungi ujian di Jerez untuk mencari pelarasan terbaik jentera KTM Moto3 sebelum memulakan cabaran sebenar Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Thailand pada 27 Februari hingga 1 Mac depan.

Berdasarkan video, impak kemalangan itu kelihatan serius apabila Hakim Danish gagal mengawal bahagian depan jentera sebelum tarjatuh dalam kelajuan tinggi dan melanggar beg penghadang keselamatan hingga terbaring seketika.

“Selepas kemalangan tersebut, saya berada dalam keadaan okey dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Sepanjang dua hari ujian di Jerez, saya akui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutamanya dalam usaha memahami karakter jentera serta memperkemaskan teknik tunggangan saya,” katanya.

Menurut juara Asia Talent Cup (ATC) 2022 itu, setiap pusingan di litar adalah sangat berharga bagi membina keserasian dan keyakinan bersama jentera baharunya.

“Ujian ini amat penting bagi saya untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat dan mendapatkan keyakinan serta keserasian bersama jentera,” tambahnya.

Kini, fokus pelumba itu beralih sepenuhnya ke pusingan pembukaan musim yang dijadualkan berlangsung di Thailand.

Hakim Danish optimis bahawa faktor cuaca dan persekitaran litar di sana akan memberikan kelebihan buat dirinya untuk tampil lebih kompetitif.

“Bagi pusingan pertama di Thailand nanti, saya jangkakan keadaan akan berbeza terutama dari segi cuaca dan litar. Saya berharap keadaan di sana sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk terus menyesuaikan diri dan meningkatkan lagi prestasi tunggangan saya,” jelasnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |