Hakim Danish perlukan bantuan lunas impian

2 hours ago 1

KEJAYAAN Hakim Danish Ramli menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 di tangga ketiga keseluruhan belum mampu menjamin tiket automatik ke Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan.

Permata baharu sukan pemotoran negara itu kini berdepan laluan berliku, apabila bakat luar biasanya di litar perlu disokong dengan dana besar untuk merealisasikan impian beraksi di pentas dunia.

Difahamkan, slot Moto3 untuk musim 2026 hanya berbaki kurang dari lima tempat, menjadikan perebutan tempat terakhir bukan sekadar pertarungan di atas litar, tetapi juga ‘perang’ di luar litar.

Halangan terbesar Hakim Danish adalah faktor kewangan kerana menurut sumber, mana-mana pelumba yang mahu merebut tempat tersebut perlu membawa pakej penajaan sekurang-kurangnya €150,000 hingga €250,000.

Angka itu hanyalah kos asas, sedangkan perbelanjaan lain seperti gaji, bonus, penginapan dan keperluan tambahan pasukan masih belum diambil kira meletakkan Hakim Danish dalam keadaan tersepit walaupun telah membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa.

Cabaran bertambah sukar apabila dua kerusi panas itu turut diburu pelumba FIM JuniorGP, yang bukan sahaja memiliki bakat, tetapi juga sokongan penaja serta membawa bajet besar.

“Benar, hanya tinggal beberapa lagi kekosongan pasukan di Moto3 dan mewujudkan senario ‘perang bidaan’, di mana pasukan Moto3 yang mempunyai kekosongan cenderung memilih pelumba yang mampu membawa dana terbesar sekali gus meringankan beban kewangan pasukan.

“MotoGP adalah perniagaan dan realiti ‘bayar untuk berlumba’ bukanlah perkara baharu kerana dana tersebut digunakan bagi menampung kos keseluruhan sepanjang musim,” kata sumber tersebut.

Tambahnya, kedudukan Hakim di tangga ketiga keseluruhan mengubah persepsi beberapa pasukan yang pada awalnya berminat, namun tetap mengakui pelumba itu memiliki bakat besar.

Sebelum ini, Hakim Danish dikatakan hampir menyertai MSI Racing Team, yang berminat menurunkannya bagi menggantikan Angel Piqueras, selepas bintang Sepanyol itu dinaikkan ke Moto2 musim depan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |