KUANTAN – Seorang guru sanggup membuat pinjaman peribadi dan menggadai barang kemas sehingga mengalami kerugian sebanyak RM340,500 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melalui telefon yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 27 April lalu selepas mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 42 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai wakil insurans, pegawai polis dan pendakwa raya.
“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan diarahkan menyediakan wang ikat jamin dan mangsa diarahkan oleh suspek untuk membuka akaun bank baharu dan menukar nombor telefon yang didaftarkan.
“Akibat terperdaya, mangsa turut membuat pinjaman peribadi berjumlah lebih RM280,000 selain menggadaikan barang kemas,”katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, antara 15 Julai 2025 hingga 15 September 2025 mangsa membuat 13 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun berbeza melibatkan jumlah RM117,000.
Katanya, semakan penyata bank pada 17 September 2025 juga mendapati 24 transaksi tidak sah berjumlah RM223,500 dalam akaun simpanan mangsa yang dipercayai dilakukan oleh pihak sindiket setelah memperoleh akses.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE