Gerhana bulan ‘hiasi’ malam 14 Ramadan

7 hours ago 5

PETALING JAYA – Fenomena gerhana yang berlaku malam ini mencuri perhatian netizen apabila bulan kelihatan bertukar menjadi warna kemerahan.

Menerusi perkongsian seorang pengguna media sosial, @Verzieyanahjohn di laman Threads, kejadian itu dirakam pada pukul 7.25 malam dan memaparkan imej bulan berwarna merah jingga bersinar di langit gelap.

Menurutnya, pemandangan tersebut disaksikan dari Kudat, Sabah dan menyifatkannya sebagai pemandangan yang sangat indah.

“Pemandangan di Kudat, Sabah. Sangat cantik!”

Sementara itu, keadaan awan tebal tidak merencat keterujaan orang ramai di bandar raya Kuala Terengganu dan Kuala Nerus untuk menyaksikan fenomena berkenaan.

Fenomena itu dianggap unik kali ini kerana berlaku pada bulan Ramadan dan hanya dapat dilihat dengan mata kasar pada penghujung fasa gerhana penuh pada kira-kira pukul 8.02 malam.

Masjid-masjid seluruh Terengganu turut mengadakan solat sunat gerhana bulan beserta khutbah di kawasan masing-masing sama ada selepas solat maghrib atau isyak.

Lebih 600 orang telah menyaksikan program cerapan gerhana bulan di Masjid Mengabang Telipot, Kuala Nerus yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pengarah Eseri UniSZA, Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, fasa penuh gerhana bulan berjaya dicerap dengan bantuan lebih 12 teleskop dan binokular selama 58 minit mulai pukul 7.33 malam.

Beliau berkata, jemaah masjid tersebut bersama-sama mengikuti aktiviti cerapan gerhana bulan sambil menunaikan berbuka puasa dan moreh.

Imam Wan Ahmad Shahid Wan Abdullah Lutfi (tengah) sedang menyampaikan khutbah gerhana bulan di Masjid Hiliran, Kuala Terengganu malam ini.

“Kami juga menunaikan solat fardu maghrib dan isyak serta solat sunat gerhana bulan dan tarawih berjemaah. Gerhana bulan penuh ini hanya akan dapat dilihat semula pada 31 Disember 2028,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |