
- Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
- 25 Ogos 2025, 11:17 am
SEGAMAT – Perkhidmatan Hospital Segamat beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan meskipun daerah ini mengalami gegaran gempa bumi lemah semalam.
Pengarah Hospital Segamat, Dr. Faidzal Adlee Abdul Ghafar berkata, semua perkhidmatan termasuk pesakit luar, kecemasan serta rawatan berjalan seperti biasa dan tidak terjejas.
“Pihak Hospital Segamat ingin memaklumkan bahawa berikutan gegaran gempa bumi yang dirasai di sekitar Bandar Segamat pada awal pagi semalam, pihak hospital telah mengambil langkah segera dengan menjalankan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh di seluruh bangunan dan fasiliti hospital.
“Hasil pemeriksaan oleh pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati keadaan hospital adalah selamat dan tiada sebarang kerosakan yang menjejaskan keselamatan mahupun perkhidmatan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE