
- Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
- 27 Ogos 2025, 11:31 am
SEGAMAT – Sebahagian penduduk Segamat merasai gegaran gempa bumi lemah buat kali ketiga pagi ini selepas 72 jam gegaran pertama berlaku tiga hari lalu.
Menurut salah seorang penduduk, Shahana Suanda, 27, dia merasai gegaran tersebut kira-kira pukul 9.06 pagi ini ketika berada di rumah.
“Saya berada dalam bilik air ketika itu dan ibu saya berada di luar rumah. Tiba-tiba terasa ada gegaran dan dentuman tetapi sedikit jauh bunyinya berbanding gegaran pada pertama kali Ahad lalu.
“Saya dan ibu saya berasa terkejut dengan gegaran itu tetapi ia tidak berlaku lama seperti dua ke tiga saat sahaja. Saya terus mendapatkan ibu saya bersama anak saya di luar rumah untuk memastikan mereka dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 5, Buloh Kasap hari ini.
Bagi Rahidah Zakariah, 38, dia juga mengalami pengalaman yang sama pagi ini merasa gempa bumi lemah di kediamannya di Kampung Kadut.
“Sewaktu kejadian, saya sedang masak di dapur seorang diri. Tiba-tiba ada bunyi macam guruh kedengaran dan atap rumah bergegar,” katanya.-KOSMO! ONLINE