PETALING JAYA – CVC Capital Partners (CVC) Asia Fund IV telah mengumumkan perjanjian baharu dengan FTMO Group bagi menjual OANDA Global Corporation.
OANDA yang merupakan platform dagangan digital terkemuka diasaskan pada tahun 1996, telah diambil alih oleh CVC Fund pada tahun 2018 dan kini akan menjadi sebahagian daripada keluarga FTMO.
Ketua Pegawai Eksekutif OANDA, Gavin Bambury berkata, pihaknya teruja untuk beroperasi dibawah pemilikan FTMO yang berpotensi memberikan manfaat kepada pelanggan kedua-dua syarikat.
Beliau berkata, matlamat syarikat itu adalah untuk menyediakan keupayaan dagangan pelbagai aset bertaraf dunia dengan pendekatan yang berorientasikan pelanggan adalah matlamat utama kami.
“Kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan menerusi syarikat global, jenama yang dipercayai, platform teknologi yang boleh diskalakan, serta pelbagai perkhidmatan yang kami sediakan kepada pelanggan kami.
“Kami berterima kasih kepada CVC atas keyakinan mereka terhadap kami dan sokongan mereka dalam misi kami untuk menjadikan platform dagangan ini sebagai peneraju global,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebagai maklumkan, OANDA ialah platform digital perintis bagi pedagang dalam talian, yang menawarkan dagangan pelbagai aset, analitik, dan data mata wang.
Sejak tahun 1996, platform dagangan ini telah memantapkan dirinya sebagai jenama dagangan dalam talian yang dipercayai.
OANDA menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan runcit dan institusi di pelbagai negara dan rantau. Syarikat ini dikawal selia oleh entiti berlesen dengan pasukan kepimpinan di Warsaw, Singapura, Tokyo, Sydney, Toronto, Kepulauan Virgin British, London, dan New York.
Mengulas lanjut, beliau berkata, OANDA akan terus menawarkan perisian dagangan proprietarinya serta integrasi pihak ketiga dengan MetaTrader 4, MetaTrader 5, dan TradingView.
Sementara itu, Pengasas bersama FTMO, Otakar Šuffner dan Marek Vašíček berkata, pengambilalihan strategik oleh FTMO merupakan satu pencapaian penting dalam industri dagangan dalam talian.
Jelas mereka, ia selaras dengan matlamat untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pedagang forex di seluruh dunia.
“OANDA telah memantapkan dirinya sebagai platform digital utama untuk dagangan pelbagai aset, data mata wang, dan analitik bagi pelanggan runcit serta korporat.
“Syarikat ini mempunyai reputasi yang kukuh dalam penyampaian perkhidmatan dan kehadiran yang mantap di pasaran kewangan utama seperti London, Sydney, Singapura, dan New York,”katanya.
Menurut mereka, pengambilalihan itu membolehkan FTMO, sebuah firma dagangan prop berpangkalan di Republik Czech yang mewujudkan penyelesaian dagangan yang lebih komprehensif bagi industri yang dinamik.
“Kami percaya pengambilalihan ini akan memberi manfaat besar kepada semua peserta pasaran yang berkaitan, termasuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan FTMO serta OANDA.
“Pengambilalihan OANDA juga adalah langkah penting dalam merealisasikan visi jangka panjang kami.
“Kami tidak sabar untuk membina bersama satu kumpulan syarikat dagangan yang unik dan komprehensif, sesuatu yang belum pernah wujud dalam pasaran sebelum ini,”jelas mereka.-KOSMO! ONLINE