Fasilitator motivasi didakwa ‘sentuh’ pelajar

2 hours ago 1

KANGAR – Seorang fasilitator motivasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar sekolah pada Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Kes tersebut didengar di hadapan Majistret Ana Rozana berikutan ketiadaan hakim di Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di dewan sebuah sekolah menengah di kawasan Padang Besar kira-kira pukul 9 pagi, 10 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa sama di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 11(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tengku Ruqayyah turut memohon agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Ayuni Ahmad, kemudian memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kepada tertuduh.

“Tertuduh berusia 44 tahun dan tinggal di Kota Tinggi, Johor. Dia bekerja sebagai fasilitator motivasi dengan pendapatan tidak tetap.

“Dia merupakan seorang duda tetapi menanggung ayah yang sudah tua dan menjaga kakak yang merupakan ibu tunggal,” katanya.

Menurutnya lagi, tertuduh juga menghidap penyakit jantung, asma dan masalah tulang belakang.

“Tertuduh tidak mempunyai sebarang hubungan keluarga dengan mangsa,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik.

Tertuduh setakat ini tidak membayar jaminan yang dikenakan.

Pada 2 Februari tahun lalu, tertuduh sama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di negeri itu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |