PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu berusaha mencari tokoh ‘orang luar’ sebagai calon presiden baharu badan induk itu sekali gus memulihkan semula kredibiliti sebagai persatuan sukan No. 1 negara.
Pemerhati bola sepak, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan lantikan presiden baharu kali ini cukup penting supaya kesilapan sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Menurut Pekan, pengalaman barisan kepimpinan FAM sedia ada wajar dihargai, tetapi sekarang adalah masa untuk membuka lembaran baharu.
“Kita harapkan supaya calon yang dipilih itu mestilah calon yang boleh membawa perubahan kepada FAM sebagai persatuan sukan yang profesional dan tidak dipengaruhi oleh pihak luar.
“Selain itu, peminat juga pasti tidak mahu FAM selepas ini terlalu banyak sangat drama dalaman, konflik atau konspirasi selain bebas daripada sentimen kronisme.
“Kita bukanlah nak merendahkan pengalaman mereka, tetapi kita nak juga pemimpin yang begitu telus dan yang paling penting tidak dikaitkan percanggahan konflik pada masa akan datang.
“Justeru, FAM kena mencari pemimpin luar yang boleh mendapat kepercayaan daripada semua orang khususnya ahli gabungan dan juga sokongan pihak korporat yang turut memainkan peranan penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Sebagai rekod, FAM dilanda badai pada minggu lalu apabila kerusi panas jawatan presiden badan induk sukan No. 1 negara itu kosong selepas Datuk Mohd. Joehari Ayub mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan serta-merta.
Situasi itu menyaksikan FAM terpaksa membuat mesyuarat khas dan kini melatik Datuk Mohd. Yusoff Mahadi sebagai Pemangku Presiden FAM buat sementara waktu sehingga kongres pemilihan baharu dilakukan pada tahun depan.
Keputusan Joehari untuk meletakkan jawatan selepas memimpin FAM hanya enam bulan dilantik memberi gambaran bahawa persatuan itu ‘tersilap’ memilih pemimpin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Hamidin Mohd. Amin.