F1: Alonso tak kisah hilang populariti

3 weeks ago 8

LONDON – Pemandu Aston Martin, Fernando Alonso langsung tidak mengambil peduli tentang pandangan peminat generasi baharu Formula 1 (F1) terhadap pemandu lebih berusia seperti dirinya dan Nico Hulkenberg.

Alonso, yang akan menjadi pemandu pertama berlumba dalam F1 pada usia 44 tahun sejak Graham Hill, telah melalui perjalanan karier yang panjang sejak penampilan sulungnya pada 2001.

Juara dunia dua kali itu akan berusia 45 tahun apabila kontraknya bersama Aston Martin tamat pada 2026.

Walaupun populariti F1 kini melonjak dalam kalangan peminat lebih muda yang mungkin tidak pernah menyaksikannya di kemuncak prestasi, namun Alonso tidak bimbang sama ada mereka menghargai kehadirannya di litar.

“Terus terang, saya dan Nico (Hulkenberg) tidak terlalu kisah apa yang peminat generasi baharu fikirkan. Fokus kami hanya mahu memenangi perlumbaan, membantu pasukan dan memberikan prestasi terbaik,” kata Alonso.

Pemandu Sepanyol itu mula menyertai F1 pada 2001 dan mula terkenal selepas menewaskan legenda Ferrari, Michael Schumacher untuk merangkul gelaran dunia berturut-turut pada 2005 dan 2006 bersama Renault.

Walaupun kali terakhir menaiki podium tertinggi pada 2013 ketika bersama Ferrari, Alonso kekal menjadi nadi penting kepada projek Aston Martin yang mula bekerjasama dengan Honda bermula 2026.

“Jika tahun depan saya dan Nico ada jentera yang kompetitif, menang lapan perlumbaan berturut-turut, orang akan fikir kami ubah diet atau program latihan. Hakikatnya, kami sudah berlatih dan pergi simulator setiap hari, itu kerja kami,” jelasnya.

Sementara itu, Hulkenberg yang beraksi bersama Sauber turut berkongsi pandangan sama selepas meraih podium pertama dalam kariernya di GP Britain pada Julai lalu.

“Tiada kaitan antara filem atau umur pemandu dengan keputusan perlumbaan. Semuanya bergantung kepada tahap prestasi kereta dan bagaimana hujung minggu berjalan. Kami hanya cuba maksimumkan apa yang ada,” kata pemandu Jerman berusia 37 tahun itu. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |