
- Oleh MEJA SUKAN KOSMO!
- 24 Ogos 2025, 4:03 pm
LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap The Gunners kini serba sempurna selepas melengkapkan perpindahan Eberechi Eze daripada Crystal Palace dengan nilai keseluruhan £67.5 juta (RM385.4 juta) awal pagi tadi.
Eze telah diberikan jersi No. 10 dan diperkenalkan secara rasmi sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Leeds United yang menyaksikan Arsenal berpesta gol dengan dengan keputusan 5-0.
Menurut Arteta, keputusan untuk menandatangani khidmat Eze adalah perpindahan paling mudah untuk dilakukan kerana keinginan pemain berusia 27 tahun itu untuk kembali menyarung jersi Arsenal.
“Pada Rabu lepas, saya telah dihubungi Eze bahawa dia menyatakan Tottenham Hotspur mahu mendapatkan khidmatnya. Dia menawarkan diri untuk Arsenal dan saya membuat keputusan untuk kita cuba lakukan bidaan yang sama.
“Kini, segalanya sudah selesai dan saya anggap Eze sebagai pelengkap pasukan kami. Dia ada karisma tersendiri dan boleh mencipta magis dalam usaha membantu pasukan melakar kemenangan,” katanya. – AGENSI