KUALA LUMPUR – Memiliki 20 tahun pengalaman dalam bidang lakonan, pelakon terkenal Ummi Nazeera tiada masalah untuk pergi ke sesi uji bakat demi mendapatkan sesuatu watak dalam filem.
Terbaharu, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 36, terpilih sebagai heroin filem arahan Erma Fatima, Langit 2 Warna bergandingan dengan pelakon popular Indonesia, Reza Rahadian.
“Saya terpilih dalam filem ini kerana saya pergi uji bakat, bukan kerana saya Ummi Nazeera. Saya dah biasa pergi sesi (uji bakat). Dulu waktu saya berlakon filem Gol & Gincu 2, tiga kali saya kena pergi.
“Untuk filem Langit 2 Warna ini, saya dihubungi oleh Erma Fatima untuk pergi sesi uji bakat tertutup. Bila Erma minta pergi, makanya anda perlu pergi uji bakat. Saya pergi tanpa tahu jalan cerita filem ini tentang apa.
“Tetapi saya sentiasa percayakan Erma Fatima. Saya suka dengan karya-karya yang dihasilkannya.
“Bila saya baca skrip, saya sangat gembira. Tambahan pula ada banyak babak melibatkan anak dengan ayah. Saya memang suka kisah anak dan ayah. Ayah saya pula Eman Manan dalam filem ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem tersebut, di sini, semalam.
Tambah Ummi lagi, dia teruja untuk kembali berlakon di bawah arahan Erma Fatima kerana pengarah itu merupakan insan pertama yang membawanya ke dunia lakonan.
“Erma ialah ‘ibu seni’ saya. Dia yang membawa saya ke dunia lakonan ketika saya berusia 16 tahun. Selepas itu ada banyak juga tawaran daripada Erma tetapi saya tidak berkesempatan.
“Jadi bila kali ini saya ditawarkan melakonkan watak Innara arahan Erma selepas 10 tahun dia tidak mengarah, sudah tentu saya tidak mampu menolak,” jelasnya.
Bakal bergandingan dengan Reza Rahadian, kata Ummi, dia tidak tahu siapa heronya sehinggalah hari sesi membaca skrip bersama pelakon yang berlangsung semalam.
“Saya cuma tahu pelakon gandingan saya dari Indonesia. Tetapi saya tidak tahu siapa gerangannya kerana Erma merahsiakan sehingga hari ini (semalam). Dia cuma beritahu bahawa saya akan suka dengan hero saya.
“Bila saya lihat Reza, sudah tentu saya gembira. Dia bukan sahaja seorang pelakon hebat tetapi juga seorang pengarah. Saya boleh belajar banyak perkara dengannya,” ujarnya.
Selain Ummi dan Reza, Langit 2 Warna turut menampilkan Christine Hakim, Datin Paduka Umie Aida, Eman Manan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Sharifah Aryana. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
14

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














