EPL: Kemampuan Lammens diragui

16 hours ago 6

MANCHESTER – Keputusan Manchester United mendapatkan khidmat Senne Lammens sebagai penjaga gol baharu mereka mencetuskan kebimbangan sekiranya kelab itu membuat satu lagi kesilapan mendapatkan pemain yang terbaik di posisi berkenaan.

Lammens dibawa masuk pada hari terakhir jendela perpindahan ekoran prestasi dua lagi penjaga gol mereka, Andre Onana dan Altay Bayindir yang gagal menjalankan tugas dengan baik sehingga sering menjadi punca merugikan pasukan.

Lemmens memiliki rekod yang baik sepanjang musim lalu bersama Royal Antwerp termasuk 173 penyelamatan sekali gus menjadi jumlah paling tinggi berbanding semua penjaga gol di 10 liga utama Eropah yang lain.

Bagaimanapun, pengalamannya yang masih dianggap cetek dalam saingan bola sepak kompetitif menjadi keresahan banyak pihak sekali gus menyebabkan mereka berpendapat bahawa United sekali lagi membuat ‘perjudian’ mendapatkan khidmatnya.

Legenda United, Gary Neville mendakwa beraksi di posisi penjaga gawang adalah tugas paling sukar dan memerlukan ketelitian yang luar biasa terutama dalam bola sepak di England menyebabkan beliau lebih tertarik untuk United mengikat Emiliano Martinez.

Dua penganalisis bola sepak England, Gary Lineker dan Alan Shearer juga memiliki pendapat yang sama apabila mendakwa pengalaman menjadi elemen penting untuk seseorang pemain berjaya di saingan Liga Perdana Inggeris.

“Statistik musim lalu tidak semestinya menunjukkan dia seorang yang hebat. Jumlah penyelamatan itu mungkin kerana Royal Antwerp memiliki benteng pertahanan yang teruk memaksa penjaga gol bekerja keras,” jelas Lineker

“Situasi dua penjaga gol United, Onana dan Bayindir memungkinkan Lammens untuk terus menggalas tugas sebagai pemain dalam kesebelasan utama. Dia memerlukan persediaan untuk berdepan tugas berat apabila prestasinya bakal menjadi tumpuan,” ujar Shearer. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |