ALOR SETAR – Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis berpangkat koperal pada 7 Ogos lalu.
Mereka ialah Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25, dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34.
Kesemua mereka yang bekerja sendiri mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh dari Johor itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini kira-kira pukul 3.43 petang, 7 Ogos lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim sementara semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan keempat-empat tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar.
Kes akan disebut semula pada 23 November depan.
Sementara itu, ahli keluarga tertuduh dilihat memenuhi pekarangan luar mahkamah dan sempat melihat empat tertuduh dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah.
Salah seorang daripada mereka sempat memaklumkan kepada tertuduh akan melantik peguam untuk mewakilinya.
Kosmo! pada 7 Ogos lalu melaporkan anggota polis, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, maut akibat dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus dinaiki empat penjenayah ketika melarikan diri setelah memecah masuk sebuah rumah di Taman Golf.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada anggota badan. – KOSMO! ONLINE