WASHINGTON – Bilionair Elon Musk menyatakan sokongan terhadap cadangan agar Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor portal berita MailOnline semalam.
Musk yang juga merupakan ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) pentadbiran Presiden Donald Trump mengetengahkan pendirian itu di platform X kelmarin.
Seorang pengkiritik politik, Gunther Eagleman sebelum itu menulis di X: “Kini tiba masanya untuk (AS) meninggalkan NATO dan PBB.”
Musk kemudian mengulang ciap hantaran tersebut serta menulis: “Saya setuju.”
Dia selain itu turut mengulang ciap satu hantaran oleh Ahli Kongres daripada Parti Republikan, Thomas Massie yang menggelar NATO sebagai ‘peninggalan Perang Dingin yang perlu ditinggalkan di (muzium) Smithsonian’.
Hantaran-hantaran Musk itu dibuat susulan gesaan oleh sebilangan ahli politik Parti Republikan lain agar Trump mempertimbangkan semula keahlian NATO.
Peranan Musk sebagai pemain utama dalam pentadbiran Trump bermaksud sokongannya terhadap kedudukan anti-NATO boleh menimbulkan masalah bagi pakatan berkenaan.
Trump setakat ini mengelak secara aktif dalam menyeru AS keluar daripada NATO, namun selepas kemenangan pilihan raya kedua, beliau secara konsisten menggambarkan pakatan itu sebagai hubungan berat sebelah.
Trump memberitahu pemberita bahawa beliau meragui hasil yang diperoleh dengan membelanjakan wang untuk NATO.
Ini kerana menurutnya, Washington melindungi anggota blok itu tetapi mereka tidak melindungi AS.
Trump juga berulang kali memarahi rakan sekutu NATO kerana tidak meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka dengan cukup pantas.
Pegawai kanan dalam pentadbiran awal Trump juga berkata, beliau bercakap berkali-kali secara tertutup sepanjang 2018 tentang keinginannya untuk menarik diri daripada NATO. – AGENSI