‘Doakan perkahwinan kami sampai ke jannah’

4 hours ago 3

SAAT tulisan ini sedang diusaikan, tertancap mata akan sepotong video sekitar 2017 susuk bernama Amira Othman menyanyikan lagu Wanita Terakhir nyanyian asal Fattah Amin.

Siapa sangka, Tuhan mempunyai perancangan yang lebih besar buat mereka. Pada 14 September lalu, bertempat di Golden Palm Tree, Sepang, Fattah, 35, dan Amira, 32, disatukan dengan ikatan suci bernama pernikahan. Kini, terikat sudah mereka sebagai suami isteri.

Sepertimana kata sahabat Nabi, Saidina Ali Abi Talib RA yang berbunyi ‘apa pun yang menjadi takdirmu, akan mencari jalan menemukanmu’. Begitulah yang berlaku kepada pasangan sama cantik, sama padan yang dicemburui ramai ketika ini.

Masing-masing pernah berdepan ‘pengajaran’ hidup yang mematangkan, kini mereka dibalut indah kasih sayang yang menyemikan rasa cinta bukan sahaja buat diri sendiri, bahkan orang sekeliling termasuk pinjaman Tuhan, Nur Fatima Aisya.

Fattah sekali lagi menjawat peranan sebagai suami apabila menikahi Amira Othman hujung minggu lalu dalam sebuah majlis serba indah di Sepang. – Instagram Amira Othman.

Amira Othman atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman mohon orang ramai menitipkan doa yang baik-baik buat dirinya bergelar isteri kepada Fattah, sekali gus menjawat peranan ibu tiri kepada Fatima, 5. 

‘Biasa dengan budak kecil’

Amira berkata, dia sudah bersedia menerima segala keadaan selepas mendirikan rumah tangga dengan Fattah kerana inilah lumrah rumah tangga yang perlu didepani setiap manusia berpasang-pasangan. 

“Siapa pun yang saya pilih, tak kira status atau keadaan seseorang itu, saya perlu terima.

“Begitu juga dengan Fattah yang memilih saya dalam apa keadaan sekali pun. Walaupun mungkin saya tidak punya anak, tapi ada benda lain yang saya harus terima.

“Bagi saya tidak ada masalah sebab itu adalah lumrah. Saya pun bukannya tak biasa dengan kanak-kanak dan harapnya semua baik-baik saja,” katanya kepada HibGlam.

Diajak berbicara tentang mengenai fasa baharu selepas bergelar isteri, Amira mengakui tanggungjawab yang dipikul bukan mudah, namun percaya segalanya akan beransur-ansur lancar dengan izin Allah.

“Ini satu fasa baharu yang saya percaya dilalui semua orang. Kalau tanya bersedia atau tidak, saya sendiri pun tiada jawapan.

“Tapi apa yang pasti setiap fasa baharu itu harus dilalui dengan baik. Mudah-mudahan dapat jadi isteri yang baik,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, Fattah yang segak berbaju Melayu dalam persalinan Rizman Ruzaini berkata, apa yang dibutirkan dari bibir Amira, begitu jugalah harapan dirinya untuk mengemudi bahtera perkahwinan ini. 

Fattah lelaki baik – Mentua

Kendatipun, Fattah berkata, mereka juga masih ada beberapa lagi kontrak kerja berdua yang belum selesai dan memerlukan menjadi rakan sekerja seperti biasa.

Baik Fattah mahupun Amira, masing-masing menharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai agar perkahwinan mereka terus dibalut rasa kasih sayang hingga ke syurga.

“Sebab kita masih ada lagi kontrak-kontrak yang masih kena jadi rakan sekerjalah.

“Cuma sekarang kita dah ‘upgrade’ sebagai rakan serumah jadi rakan sebilik,” kata Fattah secara berseloroh kepada media usai majlis pernikahan.

Fattah juga memanjatkan kesyukuran apabila segala perancangan berjalan lancar. Dia mengharapkan doa yang baik-baik daripada khalayak agar perkahwinan kali ini kekal dan mampu dibawa sehingga ke jannah.

“Rasa bersyukur. Bersyukur ke hadrat Ilahi, ini semua berkat doa daripada orang ramai terutama mak ayah kami, keluarga dan peminat. 

“Doakanlah agar perkahwinan kami sampai ke syurga,” ungkap Fattah lagi.

Berbicara soal perancangan bulan madu, Fattah dan Amira berkata, mereka akan ke beberapa ke destinasi. 

Mereka tidak mempunyai kesempatan untuk menjalani sesi fotografi praperkahwinan (prewedding) disebabkan kekangan kerja.

“Kami ada pelan nak ke destinasi-destinasi yang tak boleh dedahkan lagi,”  kata Fattah yang kini dilihat telah terbang berbulan madu dengan Amira di luar negara.

Mengalihkan temu bual kepada ibu kandung kepada Amira, Norahayati Arshad, 58, yang dalam pada gembira melihat anak tersayang kini menempuh alam perkahwinan, ada satu bahagian jiwanya dibumbui hiba terpaksa melepaskan Amira kepada lelaki bernama suami.

“Tiba masa saya serahkan (Amira) kepada suami dia. Selama ini dia tinggal dengan saya, sekarang terpaksa berpisah sebab dia ikut suami.

“Dalam masa sama, saya bersyukur kerana akhirnya dia bertemu jodoh. Fattah pun orangnya baik boleh nampak saat kali pertama jumpa dulu,” ujarnya.

Amira diiringi ibu tersayang, Norahayati Arshad, 58, sebelum sah menjadi isteri kepada Fattah Amin. 
Read Entire Article
Pertanian | | | |