‘Dia WhatsApp pinjam duit, saya telefon sekali suami dia jawab…’

4 hours ago 5

PETALING JAYA – Kecoh isu artis ‘scam’ orang ramai, pelakon Janna Nick mengakui pernah berdepan situasi mencurigakan membabitkan rakan selebriti yang didakwa terlibat dalam penipuan kewangan.

Ujar Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 31, dia dan individu tersebut pernah rapat sebelum hubungan terputus secara tiba-tiba.

“Saya ada cerita tentang rakan artis yang didakwa menipu itu. Kami pernah rapat, kemudian dia hilang begitu sahaja.

“Beberapa tahun selepas itu, dia WhatsApp saya untuk pinjam duit. Lepas terima mesej, tak sampai beberapa saat saya terus hubungi sebab rindu,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon drama Hijrah Jannah itu, situasi bertukar janggal apabila panggilan tersebut dijawab oleh suami individu berkenaan.

“Tiba-tiba suaminya pula yang jawab. Mestilah saya terkejut. Saya mesej kawan saya, tapi suami dia yang angkat dan beritahu dia berada di klinik.

“Kalau begitu, siapa yang balas mesej saya tadi?

“Saya cuma harap ada orang dapat selamatkan dia sebab saya tak rasa nombor itu dipegang olehnya sendiri,” ujarnya.

Meskipun tidak mendedahkan identiti mana-mana pihak, perkongsian tersebut pantas mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen yang cuba mengaitkan dengan kontroversi tular ketika ini.

“Kalau betul nombor itu bukan dia pegang, memang bahaya. Harap pihak berkuasa siasat,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Macam banyak sangat cerita keluar sekarang. Harap mangsa dapat pembelaan,” komen netizen lain.

Sebelum ini, kecoh dalam Threads apabila seorang pengasas produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan dan meminta bantuan penyanyi rap, Caprice untuk mendapatkan keadilan.

Isu tersebut turut mengaitkan seorang individu bernama Hazrin serta isterinya, pelakon drama Azar Azmi.

Difahamkan, terdapat mangsa mendakwa kerugian mencecah ribuan hingga jutaan ringgit melibatkan urusan perniagaan termasuk pelaburan durian dan tanah.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak terlibat berhubung dakwaan berkenaan, namun isu tersebut terus menjadi perhatian ramai dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |