‘Daripada 10,000, mungkin ada 300 yang nak ke konsert saya’

4 hours ago 4

CYBERJAYA – Bakal merealisasikan konsert solo pada Januari 2026, penyanyi Adam mengakui aksi mega dinamakan Tukang Gempak Adam, sudah dirancang sebelum tampil dalam konsert GenKRU, baru-baru ini.

Kata Adam atau nama sebenarnya Mohd. Aizam Mat Saman, 42, hasrat mengadakan konsert sudah direncanakan sejak 2023, namun tertangguh beberapa kali atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Bukanlah selepas tampil dalam konsert GenKRU terus nak buat konsert, niat itu sejak 2023 tapi waktu itu bajet tak cukup jadi tukar kepada ‘showcase’ dengan kehadiran 150 penonton.

“Kemudian anjak pula ke Mei 2025, kebetulan bertembung tarikh konsert idola saya, KRU, malah akhir 2024 Norman hubungi saya agar jangan ambil mana-mana persembahan sebab mereka mahu ajak saya tampil di konsert GenKRU.

“Apabila dapat pengesahan, baru saya dan pasukan putuskan buat Konsert Tukang Gempak Adam ini pada 24 Januari 2026 juga bertepatan pembukaan tahun baru,” katanya pada majlis pengumuman konsert di sini, semalam.

Pemenang ketiga program realiti Akademi Fantasia musim dua (AF2) itu bagaimanapun mengakui kemunculan empat malam berturut-turut dengan KRU di Axiata Arena mencetuskan impak terhadap kerjaya seninya.

Adam menyifatkan penampilan bersama trio ikonik itu sebagai ruang promosi percuma apabila menerima sambutan luar biasa daripada peminat yang sudah lama tertunggu-tunggu aksinya.

“Ramai bagi komen positif nak tengok saya buat persembahan. Ketika itu memang sudah ada tarikh dan venue, cuma tempat asal bagi konsert saya hanya boleh menampung tidak sampai pun 500 kapasiti.

“Jadi saya fikir daripada 10,000 yang hadir ke konsert GenKRU itu, mungkin ada 200 hingga 300 peminat nak datang ke konsert saya nanti. Selepas itu saya pilih lokasi lebih besar iaitu di Galaxy Banquet Hall, Kuala Lumpur.

“Harapnya momentum berterusan sehingga hari konsert selain dapat mengumpul peminat baru termasuk golongan muda sehinggalah penyokong saya sejak zaman AF,” ujarnya.

Konsert Tukang Gempak Adam di Galaxy Banquet Hall bakal berlangsung lebih dua jam dengan mempersembahkan rangkaian lagu daripada album pertama sejak 2005 serta dendangan baharu seperti lagu Fly High.

Katanya, tiket kategori VIP dengan 20 tempat duduk terhad berharga RM1,000 setiap satu sudah habis terjual, manakala kategori lain masih boleh ditempah di www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |