Caprice perlu fail pembelaan dalam saman Asyraf pada 2 Oktober ini

1 hour ago 1

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap Caprice diarah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukakan pempengaruh dan usahawan Asyraf Khalid pada 2 Oktober ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf selepas pengurusan kes saman itu dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Anand Ponnudurai.

Menurut peguam itu, mahkamah turut mengarahkan plaintif (Asyraf) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan Caprice pada 16 Oktober ini.

“Mahkamah menetapkan 17 Oktober ini untuk pengurusan kes. Defendan juga tidak membantah permohonan injunksi plaintif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Caprice mengarkibkan (archive) semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah terhadap Asyraf dalam media sosialnya yang dimuat naik dalam Instagram.

Asyraf selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, yang dinamakan sebagai defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Ogos lalu.

Menurut peguamnya terdapat kenyataan fitnah yang diterbitkan di Instagram yang merujuk kepada video teaser (pra-penyiaran) yang akan diterbitkan anak guamnya.

Video teaser itu adalah menerusi poadcast (audio siar) yang mana hantaran berbaur fitnah itu diterbitkan sebanyak 31 kali menerusi platform defendan.

Terdahulu anak tiri kepada Biduanita Negara
Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu dalam satu sidang medianya memaklumkam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi Caprice susulan ‘serangan’ yang dilakukan terhadapnya dalam media sosial baru-baru ini.

Menurut Asyraf segala tuduhan yang dilemparkan berhubung temu bual audio siar dengan seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu memberi impak sehingga menganggu mental dan emosinya selain merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.

Kata Asyraf paling mengecewakan, kecaman netizen yang dilemparkan terhadapnya terlalu negatif sehingga digelar perogol, pedofilia dan juga serangan terhadap keluarganya.

Kontroversi itu berlaku apabila, Caprice menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu ke program audio siar tersebut.

Caprice berang apabila individu yang didakwa pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga diketengahkan dalam podcast tersebut.

Selain berkongsi semula beberapa foto kecederaan mangsa yang mendakwa dilakukan lelaki terbabit, Caprice berkongsi tangkap layar mesejnya dengan Asyraf.

Sebelum itu, netizen menyerang laman sosial Apa Cerita? Podcast selepas Asyraf memuat naik potongan klip pendek daripada video wawancara audio siarnya dengan wajah tetamu tersebut dikaburkan.

Perkongsiannya mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai yang mempersoal motif sebenar suami kepada pelakon Tya Ariffin itu mengundang individu terbabit sebagai tetamu program berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |