TAIPING – Bukit Larut di sini kekal dengan identiti tersendiri meskipun dibuka sejak tahun 1884 lagi oleh penjajah British sebagai pusat peranginan.
Dengan ketinggian 1,036 meter dari paras laut, bukit yang pernah dinamakan Maxwell Hill itu dianggap sebagai antara 10 tempat terbaik untuk pemulihan atau ‘healing’ di Malaysia.
Kekayaan alam semula jadi Bukit Larut turut menjadi tumpuan penggemar burung kerana kawasan itu dianggarkan mempunyai 30 hingga 60 jenis burung, termasuk spesies yang bermigrasi secara bermusim.
Pelancong Singapura, Goh Keong Hoe, 74, telah beberapa kali datang ke sini sejak tahun 1970-an dan baginya, Bukit Larut adalah lokasi yang sangat menenangkan.
Dia banyak memuji keindahan Bukit Larut yang baginya masih terpelihara berbanding beberapa lokasi pelancongan bercuaca sejuk lain di negara ini.
“Apabila saya menjelajah Malaysia bersama rakan-rakan, tempat ini sentiasa menjadi pilihan,” katanya yang mengaku telah menjelajah banyak negara kepada Kosmo! di sini, semalam.
Pada 2019, operasi pusat peranginan di Bukit Larut, termasuk untuk penginapan terpaksa ditutup ekoran kejadian tanah runtuh.
Namun bermula 1 April, kemudahan penginapan berbentuk tapak perkhemahan dan banglo berkonsepkan taman Inggeris, yang boleh ditempah mengikut jenis bilik telah dibuka semula dan setakat Julai, ia berjaya merekodkan kehadiran lebih 870 pelancong.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menggagas pelan Perak Sejahtera 2030 telah meletakkan sektor pelancongan warisan di Taiping sebagai Niche Daerah.
Justeru tumpuan, sokongan, serta peruntukan dana telah disalurkan bagi menjayakan hasrat tersebut, termasuk di Bukit Larut.
Komitmen itu juga selari dengan Flagship Ke-10 pelan tersebut iaitu Ekonomi Pelancongan, dengan penglibatan Tourism Perak dan Majlis Perbandaran Taiping untuk menggembleng kelebihan yang ada untuk menjana pulangan kepada daerah ini.
Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Nurul Natasya Sharudin, 29, pula melihat Bukit Larut sebagai antara lokasi pilihan bagi kumpulan yang mahu mengadakan program berpasukan termasuk angkatannya sendiri.
“Ia sesuai dari segi fizikal kerana mempunyai bentuk muka bumi mendaki sejauh hampir 10 kilometer,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Bukit Larut, Musnarizal Abdul Manap mahu menjadikan kawasan berkenaan sebagai salah satu daripada destinasi utama Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Perak.
“Sejak dibuka semula, kami sentiasa melaksanakan penambahbaikan terutama berdasarkan respon pengunjung. Ini termasuk hasrat untuk memasang lampu solar,” katanya sambil menambah, usaha promosi sedang giat dijalankan menerusi pelbagai platform.