Budak lelaki ditemui kelaparan, rupanya kena dera

1 day ago 7

NILAI – Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemui orang awam dalam keadaan kelaparan di kawasan Desa Melati di sini semalam membongkarkan mimpi buruk yang dialaminya selepas dipercayai menjadi mangsa dera.

Menurut sumber, ketika dijumpai, kanak-kanak itu bersendirian dan terdapat kesan kecederaan pada hampir seluruh badannya. Mangsa kemudian memaklumkan dia belum makan.

“Rakan saya segera membelikan makanan untuk kanak-kanak itu. Terdapat kesan calar dan lebam pada tubuh kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menahan sepasang suami isteri berusia 22 dan 30 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

: Pasangan suami isteri ditahan selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dipercayai menjadi mangsa penderaan.

“Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, seorang penghantar makanan menemui kanak-kanak itu di luar kedai serbaneka dalam keadaan menggigil dan ketakutan.

“Mangsa dikatakan melarikan diri sebelum dibawa ke sebuah kedai makan selepas mengadu lapar. Pihak polis kemudian dimaklumkan sebelum mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya di Nilai, namun rumah tersebut didapati kosong. Polis kemudian menghubungi ibu kandungnya yang memaklumkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala bapa tiri hadir ke IPD Nilai pagi ini.

“Terdapat kesan kecederaan disyaki didera pada tubuh mangsa termasuk belakang badan, dada, lengan dan kaki. Kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan turut mendapati kanak-kanak itu hiperaktif dan pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 2020 akibat kecederaan ‘non-accidental injury’ dipercayai melecur air panas, namun kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Polis turut merampas barangan dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk penyangkut baju, wayar pengecas telefon dan dua buah telefon bimbit,” ujanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |